LAKARAN KEJAYAAN YANG BUKAN ILUSI DARIPADA TMJ!

Terdapat jurang yang besar antara anda dan JDT” – DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

Nisbah jurang kualiti dan kemajuan pasukan anda dan JDT kini semakin besar? Adakah anda bersetuju? Bagaimana pula dengan kenyataan bahawa TMJ adalah Bapa Revolusi Bolasepak Malaysia! Adakah anda juga bersetuju?

Harus bersetuju bagi mereka yang rasional dan waras. Itu kenyataan bukan halusinasi! Impak inovasi dalam kewujudan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sebenarnya telah berjaya menaikkan martabat bola sepak negara yang selama ini dipandang sepi oleh negara serantau.

Namun fakta itu terhijab bagi pemerhati dan penyokong termasuk media bolasepak tempatan. Lebih berminat membuat provokasi murahan kepada JDT daripada menetapkan tanda aras yang lebih jauh. Tiada visi dan hala tuju yang jelas.

Perjalanan JDT bersama DYAM Tunku Mahkota Johor begitu istimewa dan amat menjadi inspirasi.

Foto Arkib HS: 18.03.2013

Imbas kembali, bertahun-tahun dahulu baginda menyatakan telah mendapat satu semangat yang luar biasa apabila sentiasa dikelilingi orang-orang yang sering memperlekehkan inovasi yang mahu dirangka. Ada juga segelintir pihak yang cuba memberi gambaran bahawa usaha yang dinyata baginda hanyalah cakap-cakap kosong tiada isi.

Namun semua itu tidak dihiraukan, lalu baginda ubah segala kata-kata skeptis sebagai motivasi. Lalu dengan motivasi itu, menjadi pelonjak merealisasikan segala mimpi menjadi kenyataan.

Saya mendapat satu semangat yang luar biasa apabila saya sentiasa dikelilingi orang-orang yang mempertikaikan atau mana-mana pihak yang cuba memberi gambaran bahawa mereka tidak percaya setiap apa yang saya lakukan. Ia menjadi motivasi yang luar biasa, satu semangat yang sungguh luar biasa membuktikan bahawa saya boleh lakukannya!” – DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

BUKAN KHAYALAN

Masih ingat? Suatu masa dahulu, berpuluh-puluh tahun sebelum ini, liga domestik yang dianjurkan oleh badan penganjur utama Tanah air hanya dipandang sebagai sebuah liga yang tidak kompetitif, tiada berdaya saing dan tiada kualitatif. Ketika itu, liga penuh dengan birokrasi, penuh dengan korupsi.

Foto: Amrul Azuar Mokhtar

Manakala ketika mana-mana kelab Malaysia bersaing di kejohanan luar, wakil dari Malaysia hanya menjadi pelengkap perlawanan jika ada kejohanan yang menghimpunkan kelab-kelab terbaik dalam Asia Tenggara.

Kita juga hampir tertinggal jauh dengan kemajuan dan peningkatan kelab-kelab dari negara jiran seperti wakil kelab Liga Singapura malah untuk menewaskan kelab dari Indonesia juga kita tidak berdaya dan menjadi misi mustahil. Pasukan dari Malaysia kebanyakannya hanya gah pada nama dan sejarah purba. Jaguh kampung dan hanya berani melawan di kancah liga domestik.

SINAR KEMBALI MENERANGI BOLA SEPAK MALAYA

Namun segalanya telah berubah sekelip mata apabila kebangkitan dan revolusi radikal Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) hasil dari inspirasi dan gerak kerja sistematik DYAM Tunku Mahkota Johor. Secara tidak langsung, bola sepak tanah air akhirnya menemui sebuah keajaiban apabila turut sama mendapat suntikan keyakinan.

Sedikit demi sedikit nilai Liga Domestik Malaysia mula meningkat. Dalam masa hanya beberapa tahun, orang luar mula celik mata akan kewujudan Liga Malaysia.

Tapi sayang. Kebanyakan orang Malaysia telah dibutakan dengan kebenaran ini akibat terlalu obses dan paranoid keatas jenama JDT dan DYAM Tunku Mahkota Johor.

BERMULA LANGKAH DOMINASI JDT

Kenangan yang tidak boleh dilupakan. JDT membuat penampilan pertama pada tahun 2015 dan berjaya mendakap Piala AFC buat pertama kali dalam sejarah bola sepak negara. Satu kejayaan yang tidak pernah difikirkan oleh pasukan di Malaysia dan tidak akan diperolehi sekiranya JDT tidak wujud.

Kita alih kepada kisah dan sejarah berkaitan Liga Juara-Juara Asia (ACL) pula. Sejak penstrukturan baharu yang telah dirangka oleh AFC dengan melakukan penggabungan Piala Pemenang Asia dan Piala Super Asia pada musim 2002/03 lalu menjadi Liga Juara-Juara Asia.

Liga Juara-Juara Asia (ACL) adalah kejohanan tahunan bola sepak antara kelab elit Asia. Pertandingan yang diselenggara oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berstatus kejohanan tertinggi di Asia dan menjadi impian semua kelab yang bernaung di bawah AFC.

Jangan pula kita lupa, tiada rekod pasukan dari Malaysia sejak penjenamaan semula kejohanan ini pada tahun 2002. Tiada! Liga Juara-Juara Asia hanya seperti mimpi yang amat mustahil dapat direalisasikan oleh pasukan dari Liga Malaysia.

Mimpi tidak selamanya menjadi mimpi, baginda berjaya mengubah impian menjadi kenyataan. Pada tahun 2019, JDT selaku kelab pertama dari Malaysia akan melangkah ke Liga Juara-Juara Asia (ACL). Segala hipotetikal DYAM Tunku Mahkota Johor tidak boleh disangkal. JDT berjaya dipandang di mata Asia sebagai sebuah kelab kecil berjiwa besar.

Mulai daripada sejarah yang dicatatkan oleh JDT, perspektif dan mentaliti konvensional pasukan Malaysia yang dulunya hanya mementingkan pertandingan domestik dan hanya pelengkap jadual apabila bertanding di peringkat luar, kini nampak berubah.

JDT pula menjadi pasukan yang digeruni di rantau ini. Kalau tiada JDT, adakah kelab-kelab dan pasukan-pasukan di Malaysia yang layak bersaing diperingkat tertinggi sebegini?

IMPAK POSITIF UNTUK BOLASEPAK MALAYSIA

Slot ACL adalah indikator dan pencapaian terbaru dalam perjalanan menempa kejayaan demi kejayaan JDT. Namun penampilan pertama JDT masih lagi diperlekehkan oleh pemerhati bola sepak tempatan.

Walaupun tiada publisiti, tiada ucapan tahniah dan apa saja yang membantu dalam menaikkan semangat kelab ini, tidak merencatkan sedikit pun hala tuju Harimau Selatan. Malah organisasi JDT lebih bermotivasi untuk lebih menonjol pada penampilan sulung kejohanan elit tersebut.

Hasilnya kita berjaya menghimpit kelab-kelab elit tersebut malah mengheret mereka hingga ke perlawanan terakhir untuk menentukan slot ke peringkat seterusnya.

Penampilan pertama JDT dianggap luar biasa oleh negara-negara luar tetapi bagi pemerhati tempatan, JDT hanya sekadar bernasib baik. Ini adalah wajah dan mentaliti sebenar bola sepak Malaysia.

Akhir kata, situasi terbaharu, seperti trend terkini, Malaysia tiba-tiba dipenuhi dengan individu yang tampil seperti seorang ‘Revolusionary’ bolasepak Malaysia namun hakikatnya hanyalah tin kosong dan hanya menunggu bulan jatih keriba untuk menjadi seperti JDT.

Kesimpulannya, “You can never be us!”

“Saya telah dilabelkan sebagai pembunuh bola sepak Malaysia, dan kebanyakan pesaing saya dilabel sebagai wira.”-DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

Share this...
Share on Facebook
Facebook
Tweet about this on Twitter
Twitter
  •  
  •  
  •  
  •  

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*