KEPENTINGAN SAINS SUKAN DALAM KEJAYAAN JDT

Sains sukan adalah satu elemen yang sangat penting dalam sukan bola sepak. Malangnya ramai yang mengambil sikap acuh tak acuh dan akhirnya pemain mudah mengalami kecederaan dan mengambil masa yang lama untuk pulih.

Melihat kepada prestasi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam empat perlawanan Liga Super yang bersambung semula selepas dihentikan ekoran penularan pandemik Covid-19, jelas JDT melaburkan wang yang banyak ke arah sains sukan dan hasilnya melahirkan para pemain yang berdaya tahan.

12 mata maksimum, 22 gol dijaringkan dan hanya bolos 5 gol adalah bukti JDT berada dalam kelas tersendiri. Jika dilihat JDT seolah-olah tidak terkesan langsung dengan penangguhan liga malah menjadi lebih baik berbanding pada awal musim.

 

Ini kerana ketika liga dihentikan, barisan jurulatih kecergasan JDT menyediakan modul latihan yang sesuai dengan setiap pemain untuk mereka lakukan di rumah masing-masing. Latihan ini bukan hanya diberi tetapi juga dipantau bagi memastikan pemain berada pada tahap terbaik.

Pemakanan pemain juga dijaga dengan penyediaan makanan khusus oleh chef pasukan dengan setiap makanan yang diambil dipastikan mengikut piawaian yang ditetapkan untuk mendapatkan kesan maksimum apabila sesi latihan.

Sesi latihan hampir setiap hari juga membantu para pemain mencapai tahap optimum dan hasilnya mereka mampu beraksi dengan ketahanan yang tinggi dalam setiap perlawanan. Dikala pemain lawan sudah mencekak pinggang kepenatan, pemain JDT masih mampu berlari seperti permainan baru bermula.

Pasukan lain dilihat sangat kurang bersedia terutama dari sudut ‘fitness’ dan kelihatan ‘struggle’ dalam mengekalkan kecergasan untuk tempoh 90 minit perlawanan.

Data-data sains sukan yang diperolehi dalam sesi latihan digunakan oleh barisan kejurulatihan untuk memastikan tahap pemain sama ada mampu beraksi 90 minit atau kurang dari itu. Kesannya JDT mempunyai ‘squad depth’ yang bagus dengan kesemua pemain mempunyai daya ketahanan yang hampir sama antara satu sama lain.

 

Penekanan kepada kepentingan sains sukan ini adalah antara punca kejayaan dan konsistensi JDT dalam menghampiri kejayaan menjuarai Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut.

Sekali juara boleh dianggap nasib tetapi apabila hendak masuk tujuh kali ini dianggap sebagai sejarah yang tidak mungkin disaingi dalam tempoh terdekat. Luaskan Kuasamu Johor.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply