KU KORBANKAN JIWA RAGA UNTUK MU DEMI JOHOR DARUL TA’ZIM

Semangat untuk mewakili penyokong Johor ke Liga Juara-Juara AFC semakin menjadi-jadi sejak membaca artikel JST tentang lawan yang bakal ditentang JDT. Persiapan awal telah dibuat dan hari ini, detik itu tiba dan dianggap sejarah buat diriku.

Berbekalkan simpanan yang telah diperuntukkan sejak JDT menjuarai liga tahun lepas, aku menempah tiket penerbangan ke Narita dengan transit di Hong Kong terlebih dahulu kerana tambangnya yang lebih murah. Walaupun tempoh transit yang lama menjadikan perjalanan lebih panjang tapi aku sudah bersedia.

 

Jika sebelum ini aku hanya melihat komrads Boys of Straits memuat naik gambar perjalanan mereka ke segenap Asean di media sosial kini aku juga mampu berbuat demikian. Beralaskan karpet dan wifi percuma Lapangan Terbang Changi, nukilan ini aku coretkan sebagai kenangan dan semangat buat yang lain.

Kashima Antlers bukanlah lawan yang biasa-biasa. Mereka bukan Selangor, Persija Jakarta mahupun Istiklol FC. Mereka adalah juara bertahan ACL. Ada yang sinis mengatakan JDT pasti kalah dan aku membazirkan wang untuk melihat kekalahan tetapi bagi aku ini pengalaman yang tiada galang ganti dan lambang jatidiri yang tidak bisa digoncang.

Aku sudah bersedia secara mental dan fizikal untuk menghadapi cuaca 9 darjah celcius yang pastinya bukan sinonim dengan cuaca kita. Aku juga sudah bersedia untuk hanya makan mee segera Jepun seperti mana aku belajar di Family Mart yang menjadi kegilaan gadis-gadis di Malaysia.

Walaupun aku tidak pernah duduk di dalam curva bersama Boys of Straits namun aku cukup bersedia untuk bersorak bersama mereka di Kashima esok. Aku akan buktikan kepada Asia siapa Boys of Straits dan siapa Johor Darul Ta’zim.

 

Aku berharap JDT berjaya memberikan tentangan yang wajar kepada Kashima. Tetapi sebagai penyokong apa jua keputusan aku terima kerana tugas aku adalah menyokong dan memberikan seluruh jiwa ragaku demi Johor Darul Ta’zim.

Aku akan melangkah masuk ke pesawat maka bermulalah pengembaraan ACL aku. Semoga pengalaman ini akan menjadi kenangan terindah buat diriku dan aku bersedia untuk ke Shandong dan juga Gyeongnam untuk awaydays akan datang.

 

Sampai sini dahulu. Nanti aku akan kongsikan kegilaan dan keghairahan penyokong JDT di Kashima. Tahniah buat semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung bersama kelab terbaik Malaysia ini. Tanpa kalian aku tidak akan mampu bercerita megah mengenai pengalaman Awaydays ACL. Luaskan Kuasamu Johor.

“…..Kukorbankan Jiwa Ragaku Untukmu Demi Johor Darul Ta’zim…. Ini Johor Ini Johor Ini Johor Darul Ta’zim…. “

Kamal Ahmad, Johor Bahru

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply