KITA HARUS TERUS BERSATU KELUARGA JDT KU!

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim bukan sahaja melambangkan negeri Johor Darul Ta’zim dalam kewujudan, tetapi juga melambangkan sebuah keluarga besar yang saling berkaitan.

Definisi keluarga dalam konteks Keluarga JDT amat terorganisasi. Penyatuan yang wujud dan saling berhubungan tiada isolasi. Ranting yang saling bercantum di pokok berakar tunjang. Sekiranya patah salah satu ranting, maka keluarga ini akan goyang. Hakikatnya, pengurusan, jurulatih, pemain dan penyokong saling memerlukan, ini realiti, tiada siapa dapat memisahkan.

Di dalam keluarga besar ini kita menempuh dugaan dan rintangan bersama-sama. Kita seperti berkongsi satu hati dan jiwa yang sama, segala emosi suka dan duka, perasaan itu jadi swadaya. Saling memerlukan sokongan untuk terus berjaya.

Hidup dalam keluarga besar ini bukan mudah. Hanya eksistensi kejujuran jadi wadah. Variasi cerita yang menganggu perpaduan. Hampir setiap hari kita terpaksa menghadapi golongan yang menguji kesetiaan .

Saya tidak menganggapnya sebagai kebencian. Saya melihatnya sebagai ketakutan. Takutkan sebuah empayar yang lahir dari selatan, Kita adalah Johor Darul Ta’zim, dan mereka patut takut akan kita, kerana mereka tidak akan dapat menghalang empayar ini daripada menjadi lebih kuat. Ingat, kita tidak pernah kalah, kita cuma belajar daripada pengalaman”- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

“Rapatkan saf kembali”

Ketika ini kita mungkin mengalami masalah dan perselisihan faham dalam pendapat. Tapi itu lumrah, segala yang berlaku, menjadikan hubungan kekeluargaan kita lebih rapat. Marah dan kecil hati sama-sama kita hilangkan dengan cepat. Kita bermaafan lalu kita kembali ke landasan perpaduan. Semoga tiada antara kita berubah haluan, kesetiaan ini jangan diubah, dibakar tak hangus, direndam tak basah.

Sesungguhnya,

Tiada siapa yang boleh memecah belahkan keluarga besar ini walau apa terjadi. Memang sifat Bangsa Jauhar sejak azali, mereka cepat memaafkan dan melupakan rasa kecil di hati.

Kita mempunyai impian yang lebih bernilai daripada berterusan dibuai tidur. Beranikan diri untuk berusaha mencapai apa yang kita benar-benar inginkan. Gagahkan diri untuk mengangkat antara kita dan bersama-sama melangkah ke hadapan. Generasi akan datang akan bertanyakan apakah yang kita lakukan apabila melihat glasier mencair dan runtuh. Ingatlah bahawa rintangan hanya akan menjadikan kejayaan kita lebih manis. Kita tidak perlu membuktikan apa-apa, tetapi kita perlu memperbaiki segalanya”- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

“Sokongan tanpa henti”

Kita harus bangkit memberi motivasi padu kepada pasukan, hanya tinggal beberapa minggu sebelum perlawanan Liga Super Malaysia 2021 kembali dimulakan. Maka hanya dengan sokongan tanpa prejudis kita dapat membantu, menjadi tonik tenaga untuk barisan jurulatih dan pemain supaya terus maju.

 

Pada situasi terkini jurulatih dan pemain amat memerlukan kita sebagai talian hayat. Usaha dan harapan terakhir untuk mereka terus menyambung hikayat.

Bola sepak mengajar saya supaya bersikap realistik. Biarlah kita sasarkan yang tertinggi hingga ke bintang kerana kalau jatuh pun, sekurang-kurangnya masih di bulan. Bagi saya 50 peratus itu lebih baik daripada 100 peratus tiada apa-apa langsung.”- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

Akhir kalam, perkara yang baik tentang kehidupan adalah apabila ada perkara yang berlaku tidak seperti yang kita inginkan, dengan itu, kita sentiasa ada peluang untuk memperbaiki setiap kesalahan.

Foto: Ezreen Abd Talip

 

Abaikan perkara yang negatif dan pegangan jangan termusnah. Tidak mengapa berasa sedih atau kecewa, asalkan jangan terlupa keluarga besar yang telah terbina.

Jadi nasihat saya adalah sentiasa memberi tumpuan kepada perkara yang positif dan mengabaikan perkara yang negatif. Sentiasa ingat dalam kehidupan, ia tidak akan sentiasa hujan selama-lamanya. Dalam setiap malam yang gelap akan muncul hari yang terang, jadi terus pandang ke hadapan dan sentiasa senyum Keluarga JDT ku”- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

Merah itu darahmu, biru itu nyawamu.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply