10 HARI MENJELANG SAMBUNGAN LIGA — JDT KEMBALI FOKUS KEPADA LIGA SUPER

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) kini kembali memberikan sepenuh tumpuan kepada baki sembilan perlawanan Liga Super dan pastinya mahukan piala itu kekal di Selatan.

Para pemain dan pegawai pasukan kini masih dalam tempoh kuarantin selama 14 hari yang hanya berakhir pada 21 Julai nanti selepas pulang dari misi Liga Juara-Juara AFC di Bangkok.

Mereka kini mempunyai tempoh rehat yang mencukupi selepas menempuh perlawanan demi perlawanan sengit bermula dari kem kebangsaan hingga ke kempen ACL.

Selepas bebas dari kuarantin, JDT hanya mempunyai 3 hari sebelum perlawanan seterusnya bertemu UiTM FC di laman sendiri. Pastinya barisan kejurulatihan sudah mempunyai pelan menyeluruh bagi memastikan semua pemain berada pada tahap terbaik.

Apa yang kita sebagai penyokong harapkan pastinya persembahan terbaik dari pasukan kesayangan kita ini walaupun sekali lagi terpaksa bermain tanpa penyokong.

Walaupun ramai yang kurang gembira dengan persembahan JDT di peringkat Asia, namun ada dua perkara yang sama sekali kita semua tidak boleh nafikan sumbangan JDT.

Pertama adalah pertambahan masa MA Malaysia untuk kekal mendapatkan satu slot automatik ke ACL untuk 2023. Dalam erti kata lain siapa pun yang menjuarai Liga Super pada 2022 akan layak ke peringkat kumpulan ACL 2023.

Kedua, kantung JDT semakin tebal dengan pertambahan wang sebanyak lebih RM250,000 hasil satu kemenangan dan satu keputusan seri ketika bertemu wakil Thailand, Ratchaburi FC.

Bukan itu sahaja, apa yang lebih membanggakan, JDT juga berjaya mengikat satu lagi penajaan menerusi F&N dengan jenama 100Plus bakal menjadi minuman isotonik rasmi kepada skuad Harimau Selatan.

Banyak perkara yang boleh dibanggakan sebenarnya oleh kita penyokong JDT. Oleh itu marilah kita fokus kepada perkara positif dan kurangkan negativiti dalam diri.

Bukan tidak boleh mengkritik kerana itu tandanya kita masih sayang dan peduli kepada kelab tetapi janganlah melampau sama juga seperti apa jua perkara yang kita lakukan dalam kehidupan ini.

Buat JDT, ayuh Johor luaskan kuasamu Johor, kami sentiasa ada bersamamu. Jaga diri, pastikan anda divaksin kerana ada kemungkinan kita sambut kejuaraan dengan bunga api sekali lagi.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply