DI MANA KAMU PENYOKONG SETIA HARIMAU SELATAN?

Syukur saya kehadrat Allah SWT kerana pasukan bola sepak Johor mempunyai penyokong yang paling hebat dalam negara ini. Dengan sikap yang tidak mudah berputus asa, bersemangat, bersatu hati, dan berdisiplin. Syukur juga ke hadrat illahi kerana saya yakin dan pasti bahawa masa depan bola sepak negeri Johor sangat cerah dan berpotensi tinggi.”- 29 Jun 2013, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

Ini adalah kenyataan Tunku sejurus Harimau Selatan tewas pada perlawanan akhir Piala FA dua ribu tiga belas kepada Kelantan. Ketika itu impian menjulang piala sulung terpaksa ditangguh.

Masih segar dalam ingatan, kegagalan kita diperlekehkan, satu Malaysia bersama-sama berpesta meraikannya. Namun pada waktu yang sama, penyokong JDT masih berlapang dada malah menerima secara terbuka kekalahan tersebut. Sangat indah, kita berjaya menghadapi segalanya bersama-sama sebagai satu keluarga.

LAPAN TAHUN BERLALU MENINGGALKAN KENANGAN

Lapan tahun berlalu, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah dilimpahkan dengan berbelas kejuaraan, dikurniakan dengan sebuah kelab yang dominan dalam mengejar kejuaraan, dianugerahkan dengan pemilik yang sentiasa dahagakan pembaharuan.

Namun masihkah wujud lagi penyokong seperti yang telah Tunku nyatakan?

Rasionalnya, kebanyakan dari kita sudah hanyut dengan kemenangan. Tidak boleh menerima walau sekelumit kegagalan. Kita lupa, bagaimana dahulu kesusahan Tunku memperbaiki sesuatu yang telah hampir hancur. Apabila bolasepak Johor telah tidur selama lebih 20 tahun akibat dikendalikan oleh individu-individu yang tidak mempunyai rasa cinta dan ikhlas dalam memajukan bola sepak Negeri Johor.

Bertahun-tahun dahulu, barah inilah yang telah ditanggung oleh organisasi bola sepak negeri Johor hingga menjadikan pasukan dari selatan ini hanya berjuang tanpa hala tuju dalam liga domestik tanah air.

Waktu itu bola sepak negeri kita tiada apa-apa. Paling menyedihkan, ketika Tunku merombak organisasi bola sepak Negeri Johor, beberapa pendedahan terbongkar bahawa pasukan representasi Negeri Johor ini merupakan antara pasukan yang dibelenggu dengan kerenah birokrasi dan barah korupsi, hingga mengheret bola sepak Negeri Johor melalui era zaman gelap dan kejatuhan yang teruk.

Kebanyakan peminat bola sepak kita sendiri seakan tidak berminat mengambil tahu, apatah lagi menyokong serta datang menyaksikan perlawanan melibatkan pasukan ini selepas kali terakhir meniti era kegemilangan 1991.

Kini semuanya hanya menjadi kisah silam. Harimau Selatan pada hari ini berdiri sebagai sebuah kelab yang mempunyai ambisi setinggi langit. Sebermula naratif musim 2014, JDT tidak menoleh kebelakang lagi.

Sejak detik itu hingga terkini, JDT mendominasi Liga Super Malaysia dengan penuh keunggulan sehingga 7 tahun gelaran juara berjaya dipertahankan malah tampil sebagai satu-satunya kelab yang mencipta rekod “unbeaten” atau “invincible” sebanyak dua kali dalam saingan Liga Super Malaysia.

Menakjubkan. Sesuatu perkara yang tidak pernah terpikir berjaya dilakukan oleh sebuah kelab muda ini.

MASA TELAH MENGUBAH SEGALANYA

Masa. Masa telah mengubah wajah. Bilamana sejak akhir-akhir ini, situasi telah berjaya menjentik atitud penyokong JDT. Kebanyakan dari kita kini mudah terpengaruh dengan halaman serta individu yang bermodus operandi memecah belahkan penyokong Harimau Selatan.

Sehinggakan ada segelintir dari penyokong kita tergamak bersekongkol bersama kelompok hati hitam ini menyerang dan membuat provokasi di halaman rasmi sendiri. Malah lebih parah ada yang sanggup meminta Tunku tidak lagi masuk campur segala urusan organisasi JDT?

Mengapa perkara ini terjadi? Adakah kita tidak sedar bahawa itu adalah gerak catur yang membawa kemusnahan kepada perpaduan erat kita? Tidak sedarkah kita, mereka tidak mahu kita bersatu padu menyokong antara satu sama lain, tidak kira menang atau kalah seperti dahulu?

Buka mata. Sebelum ini, dengan jelas cubaan demi cubaan untuk menjatuhkan Tunku tidak berjaya. Jadi apa strategi alternatif mereka? Strategi kontingensi mereka adalah melagakan penyokong JDT dengan pihak pengurusan.

Mereka kini yakin, masanya telah tiba, penyokong JDT sudah mula terbuai dan selesa dengan limpahan kemenangan. Dengan hanya sedikit hasutan, strategi ini akan menemui jalan penyelesaian. Ini bukan satu tuduhan kosong, kita sendiri lihat bagaimana halaman rasmi kita dibanjiri dengan akaun-akaun palsu serta penyokong pasukan lain yang mengaku sebagai penyokong JDT yang cuba mendorong penyokong-penyokong JDT untuk turut sama memberontak sehingga membawa kepada tindakan mendesak Tunku meninggalkan kelab.

Mereka sedar, apabila Tunku tiada, kelab JDT akan musnah. Ketika itu kecelakaan demi kecelakaan dan tragedi tragis akan berlaku. Satu persatu penaja menarik diri, pemain bernilai tinggi pula akan meninggalkan JDT. Konsekuensinya segala-galanya yang dibina selama ini akan hancur. JDT akhirnya terkubur, bola sepak Negeri Johor kembali ke zaman dekadensi!

Secara logikalnya, musuh tidak akan boleh menjatuhkan semangat Tunku. Tetapi kami percaya bahawa penyokong sendiri boleh menjadi punca utama kemusnahan Empayar ini. Sama seperti kehancuran Empayar Rom, hancur bukan kerana anasir luar atau musuh tetapi kerana rakyat Rom sendiri.

Mahukah kita ianya terjadi? Kami tidak mahu sama sekali. Tidak dapat kami bayangkan bagaimana hari-hari tanpa JDT dan Tunku dalam organisasi.

Akhir kata, seseorang yang mampu bangkit setelah jatuh adalah orang yang lebih kuat daripada seseorang yang tidak pernah jatuh sama sekali. Jangan kecewa jika impian belum terwujud. Terkandasnya JDT dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2021 bukan bermakna kelab kebanggaan ini bertemu jalan penamat.

Ini hanya teguran sebagai sahabat. Tenang dan bangkit. Bersatulah Penyokong JDT!

Perkara yang baik adalah, saya telah menanamkan mentaliti juara tetapi kita tidak boleh lupa di mana kita berada sebelum ini. Kita perlu sentiasa bersyukur dengan pencapaian ini kerana kami perlu bersedia bahawa, akan datang pada satu masa nanti iaitu apabila JDT tidak memenangi sebarang trofi kami perlu berada bersama kelab kami kerana JDT bukan sahaja melambangkan keluarga JDT tetapi juga melambangkan negeri Johor Darul Ta’zim yang sentiasa menjadi perintis. Di situ kami akan melihat dimanakah penyokong setia. Penyokong perlu terus berada di belakang pasukan. Ini adalah bola sepak. Terdapat pasang surutnya. Ianya normal dan kehidupan perlu diteruskan. Bergembiralah dan kekal positif kerana JDT kini sudah berada di mata dunia dan mencipta pelbagai sejarah”-DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply