KESULTANAN JOHOR MODEN PENCETUS KEMAJUAN BERTERASKAN KEHARMONIAN KAUM

 

KESULTANAN JOHOR MODEN PENCETUS KEMAJUAN BERTERASKAN KEHARMONIAN KAUM 

Bahagian Satu

Negeri Johor asalnya berpenduduk dari kalangan orang-orang Melayu dari pelbagai  penempatan seperti Orang Seletar, Orang Laut, Orang Riau dan sebahagian dari kepulauan-kepulauan Melayu Nusantara. Pola penempatan pada ketika itu berkelompok dan lebih tertumpu di kawasan sungai dan laut. 

Temenggong Tun Daing Ibrahim menjemput orang-orang Cina, India, Jawa dan juga penduduk negeri-negeri Melayu dari Kedah, Pahang dan Kelantan berhijrah dan bermastautin serta bersama dengan rakyat asal Johor membangunkan negeri Johor. Baginda memulakan rangka pelan pembangunan negeri Johor dengan membuka penanaman dan perladangan di tanah besar Johor.

Selain sebagai satu pelaburan, Temenggong berpakat bersama-sama masyarakat Cina membuka hutan belantara di sekitar Johor untuk penanaman gambir dan lada hitam secara komersil. Kejayaan dicapai apabila Johor memegang monopoli perdagangan lada hitam dan gambir terbesar dunia. 

Sultan Sir Abu Bakar kemudiannya meneruskan usaha ini dengan mengurniakan konsesi kepada Ungku Abdul Majid membuka Kampung Melayu Majidee dan kepada Syed Mohamad Al Sagoff membuka dan memajukan kawasan Nong Chik dan Kukup. Baginda turut memberi konsesi tanah kepada Tan Hiok Nee, Lee Ah Siang dan Wong Ah Fook untuk membangunkan Johor. 

Keteguhan kewangan negeri Johor semakin baik dan pembangunan negeri Johor semakin pesat, bebas dan sedikit menonjol dari negeri-negeri Melayu yang lain. Kepelbagaian keturunan kaum turut bersama-sama memajukan negeri Johor serta menghormati kedudukan Sultan Johor sebagai pemerintah Kerajaan Johor. Allah Peliharakan Sultan.

Bahagian Dua

Selaras dengan kemajuan dan ekonomi yang dicapai tahun demi tahun telah mendorong ramai orang dari pelbagai kaum berhijrah ke negeri Johor. Pada tahun 1864, Sultan Sir Abu Bakar mengisytiharkan dasar ekonomi dipanggil ‘Declaration of Economic Independence’ dan menubuhkan Pelabuhan Tanjung Puteri. 

Tujuan Sultan Sir Abu Bakar berbuat demikian adalah untuk membebaskan kebergantungan ekonomi Johor kepada Singapura. Baginda berjaya mewujudkan monopoli perdagangan lada hitam, gambir dan industri kilang papan. Baginda menetapkan semua kapal yang datang dan keluar dari Johor hendaklah singgah berdaftar di Pelabuhan Tanjung Puteri. 

Usaha baginda tersebut telah berjaya membebaskan Johor dari bergantung ekonomi kepada Singapura. Dalam masa yang sama, baginda amat peka dan sering memerhatikan gerak geri dan tipu helah British. Walaupun berhubungan baik, namun British sering cuba untuk mencetuskan perselisihan antara Istana dan Rakyat. 

Baginda yang sering dekat dengan rakyat menasihatkan agar slogan “Muafakat Itu Berkat” menjadi semangat dan benteng menyekat perpecahan perpaduan dari helah penjajah. Sultan-Sultan Johor yang berikutnya juga meneruskan langkah tersebut, iaitu mendekati dan mendampingi rakyat sehingga kini. Allah Peliharakan Sultan.

Bahagian Tiga

Rakyat dan penduduk Johor amat menyenangi cara Kesultanan Johor Moden memerintah dan memajukan negeri Johor. Sultan Johor ketika itu berjaya menunjukkan kepada British bahawa Raja Johor mampu, cekap dan berkemahiran dalam pentadbiran yang mementingkan kebajikan dan kesejahteraan rakyatnya. 

Situasi ini berjaya mematahkan cita-cita British yang masih mahu memperluaskan kolonialisme mereka. Pada tahun 1860, pembinaan Istana Besar yang ketika itu dianggap melangkaui kebiasaan bangunan Istana Raja Melayu adalah bertujuan memberitahu British akan kemampuan baginda dalam memerintah Johor tanpa perlunya campurtangan asing. 

Istana Besar siap dibina sepenuhnya pada tahun 1866 dan jabatan-jabatan Kerajaan Johor yang sudah wujud ketika itu di pusat pemerintahan baginda di Telok Belanga Singapura dipindahkan  ke dalam Istana. 

Mesej baginda amat jelas menunjukkan bahawa Istana itu Kerajaan dan Kerajaan itu Istana yang membawa maksud kedua-dua entiti itu sentiasa bekerjasama dan tidak berpisah selama-lamanya. Allah Peliharakan Sultan.

Bahagian Empat

Hasil lawatan Sultan Sir Abu Bakar ke England pada tahun 1866 dan seterusnya ke serantau Eropah sebanyak 7 kali, baginda membawa pulang inovasi pembaharuan dengan tujuan memodenkan Johor. Melihat kepada apa yang berlaku kepada empayar Johor sebelum ini, baginda telah mengambil inisiatif memperbaiki sistem pentadbiran mirip sistem di England. 

Sejak akhir kurun ke-19 lagi baginda sudah menjemput penanaman modal asing dari Barat bersama membangunkan ekonomi Johor dalam pelbagai industri. Walaupun Raja berkuasa penuh dalam pemerintahan negeri, namun Sultan Sir Abu Bakar tidak gemar memerintah secara mutlak. 

Baginda menubuhkan Jumaah Menteri dan Dewan Negeri sebagai dua badan perundangan negeri untuk membantu dan memberi nasihat kepada baginda. Baginda mewujudkan mekanisma ‘Check and Balance’ dalam pentadbiran.  Anggota Jumaah Menteri seramai 12 orang dan Dewan Negeri seramai 36 orang termasuk ahli Jumaah Menteri dan 2 orang wakil kaum Tionghua. 

Kedua-dua badan perundangan tersebut merupakan yang pertama ditubuhkan di Tanah Melayu dan merupakan platfom orang Melayu bagi mentadbir negeri tanpa gangguan dan nasihat pihak luar. Jelas prinsip demokrasi sudah wujud sekian lama dalam kerajaan Johor Moden. Allah Peliharakan Sultan.

Bahagian Lima

Prinsip demokrasi sudah wujud sekian lama dalam kerajaan Johor Moden. Keharmonian pelbagai kaum jelas dapat dilihat di negeri Johor sejak dahulu lagi dan ia bukan suatu perkara yang asing apabila turut melibatkan Kesultanan Johor. 

Selain mengurniakan tanah bagi binaan masjid di seluruh Johor, Sultan Sir Abu Bakar dan Sultan Sir Ibrahim turut mengurniakan tanah untuk membina rumah ibadat kaum lain di Johor seperti gereja di Jalan Gereja dan beberapa kuil di Jalan Trus sebagai penghargaan raja kepada kaum lain serta atas dasar toleransi agama dan budaya.

Prinsip seumpama ini diteruskan oleh oleh pewaris seterusnya, DYMM Sultan Ibrahim yang turut menjemput ketua-ketua agama dan kaum ke Istana untuk berbincang mengenai kesinambungan keharmonian Bangsa Johor. 

Gambaran ini jelas menunjukkan keharmonian kaum yang terbina hasil cetusan pemerintah negeri Johor lebih dari 100 tahun ini menjurus kepada impak kemajuan negeri Johor yang luar biasa. Allah Peliharakan Sultan.

Sumber: Media JOHOR Southern Tigers

Share this...
Share on Facebook
Facebook
Tweet about this on Twitter
Twitter
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  • 1.6K
    Shares

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*