JENALTI – KISAH KLASIK AKHBAR ARUS PERDANA CUBA MENJADI ‘TROLL PAGE’

 

Lambakan laman sosial tidak rasmi dan ‘troll page’ bola sepak jelas memberi impak kepada akhbar arus perdana untuk kekal relevan dan berdaya saing. Ada yang masih kekal dengan falsafah laporan berita masing-masing dan ada yang mula mengubah haluan hanya kerana inginkan jumlah ‘likes’ yang banyak.

Baru-baru ini akhbar arus perdana yang terkenal dengan beritanya yang tepat, Berita Harian sudah mula terpesong kearah cubaan menjadi ‘troll page’ yang jelas tidak digemari pembaca setia dan pasukan yang dihentam. Wartawan yang melaporkan seolah-olah hilang pedoman dan terikut-ikut emosi dalam membuat laporan sehingga hilang integriti sebagai wartawan yang berkaliber. Bak kata orang putih “what a shame”.

Tunku Mahkota Johor yang juga pemilik JDT jelas kurang senang dengan laporan itu dan mengeluarkan kenyataan balas membidas tindakan tidak beretika oleh Berita Harian. Pasukan JDT bukanlah tidak boleh dihentam tetapi cara pelaporan yang tidak tepat dengan tajuk yang mengundang ‘click bait’ itu adalah tindakan yang tidak tepat.

Saya tidak meletakkan kesalahan 100% keatas wartawan yang membuat laporan. Kesalahan yang lebih besar jatuh kepada ‘sub editor’ yang mencipta tajuk sensasi dan editor yang melepaskan berita itu. Mungkin kerana tiada bahan dan terdesak mahukan perhatian pembaca.

Untuk pengetahuan wartawan itu, jika beliau kurang maklum, penalti adalah satu bentuk hukuman yang diberikan kepada pasukan yang bertahan apabila berlaku kekasaran fizikal atau apabila bola terkena tangan di dalam kotak penalti menurut undang-undang FIFA.

Maklum juga kepada wartawan itu bahawa penalti bukanlah ‘bantuan pengadil’ seperti yang anda laporkan kerana memang jelas kesemua penalti yang diberikan adalah jelas mengikut undang-undang FIFA.

FAM juga sebenarnya boleh mengambil tindakan kepada wartawan itu kerana beliau seolah-olah mempertikaikan keputusan pengadil perlawanan. Jika pemain yang faham undang-undang bola sepak boleh dikenakan tindakan tata terbit, maka tidak salah untuk FAM mendenda wartawan yang jelas tidak faham undang-undang penalti.

Semua juga sedia maklum bahawa apabila menentang JDT pasukan lawan akan beraksi lebih dari 100% dan kesilapan dan kekasaran dalam kotak penalti lebih mudah terjadi dan ini mengundang keputusan pengadil untuk memberikan penalti.

Kepada bahagian editorial Berita Harian, kembalilah kepada fitrah laporan akhbar arus perdana. Jika anda boleh mengikut arahan parti politik dalam laporan berita mengapa anda tidak boleh berbuat yang sama untuk laporan sukan.

Hentikan tabiat mencari publisiti murahan kerana populariti hanya sementara tetapi kredibiliti akhbar yang telah anda bina sedari merdeka bagai terjejas jika anda terus berbuat begini. Pastikan laporan yang tepat dan adil diberikan. Barulah anda akan diiktiraf sebagai penyampai berita paling tepat dan relevan.

Syafiq Aznan – Jementah

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply