Apabila kita bercakap tentang Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), hanya dua perkara yang pastinya terlintas ke kepala iaitu kejayaan berterusan dan sosok hebat DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang juga pemilik kelab ini.
Tidak ada kata lain lagi yang boleh digambarkan tentang kehebatan kelab yang ditubuhkan pada tahun 2013 ini dan mungkin hanya pemuja-pemuja rahsia sahaja yang merasakan amarah, dengki dan tidak berlapang dada dengan kejayaan kelab ini.

Bermula dari pemilik, pemain, barisan kejurulatihan, fasiliti dan penyokong semuanya mempunyai satu tekad dan semangat yang sama iaitu terus berjaya dan menjadi kelab paling berjaya di Malaysia dan Asia Tenggara serta kini mula menjengah Asia.
Tekad dan semangat yang sama ini bagaimanapun berlandaskan satu impian realistik yang dibentangkan sendiri oleh pemilik kelab ketika pertemuan dengan para penyokong yang diadakan saban tahun tanpa gagal dan tanpa kuota kemasukan ke sesi soal jawab.

Apabila sebuah kelab mempunyai seorang pria terhebat seperti Tunku Mahkota Ismail, akan terbit rasa hormat di kalangan para penyokong serta penaja kerana mempunyai rasa kesamaan dan tujuan yang realistik menjadikan Harimau Selatan itu sebuah anugerah terindah yang pernah dimiliki Bangsa Johor.
Persoalan-persoalan seperti seberapa pantas untuk kita memenangi piala, tujuan utama dan segala masalah yang timbul dijawab sehingga membuatkan kita tersenyum dan mempunyai sebuah kisah klasik untuk dibanggakan di masa hadapan.
Ketika pasukan lain bertelagah dengan para penyokong yang semakin berhenti berharap terhadap pengurusan, Keluarga JDT kekal utuh untuk kita sekali lagi melompat lebih tinggi untuk menggapai langit yang tidak ada batasnya.

Pemilik realistik, penyokong fanatik menghasilkan kelab yang fantastik. Semudah ABC dan Alif Ba Ta sifirnya. Namun ianya dianggap asing buat pengurusan pasukan lain kerana mereka tidak biasa dan masih mencari kesalahan orang lain.
Musim baharu, skuad baharu, jersi baharu tetapi tujuan dan matlamat kita sebagai Keluarga JDT tetap sama iaitu meraih bintang dan menjadi yang terbaik di kalangan yang terbaik namun semuanya dilakukan dengan realistik dan bukannya halusinansi.
Ayuh semua kita tetap teguh di belakang pasukan. Penuhkan stadium dan buktikan pada dunia ini Johor Darul Ta’zim. Luaskan Kuasamu Johor.
