JDT— PERANCANGAN INTELEKTUAL TMJ DALAM MEMPERKASAKAN SUMBER KEWANGAN

 

Hari ini JDT adalah satu-satunya kelab dengan rancangan untuk meningkatkan status kewangan kami bagi mengekalkan kelab ini untuk 20 tahun akan datang dan terus berusaha untuk bertambah baik setiap tahun. Di JDT, kami menandatangani pemain berharga yang berpotensi untuk dijual. Pesaing kami masih lagi membeli pemain-pemain yang tidak tiada harga di asia dan di luar Asia”-DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

Ini adalah kenyataan DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor bertarikh 12 November 2016 ketika ditanya mengenai projeksi perancangan baginda bagi memantapkan lagi sumber kewangan terhadap JDT dan memperkasa perniagaan dalam bola sepak untuk stabilisasi organisasi yang diterajui baginda bagi tahun-tahun yang akan datang.

Bagi DYAM Tunku Mahkota Johor, sumber kewangan merupakan elemen paling penting dalam perjalanan sesebuah organisasi bola sepak. Ini kerana kegagalan menguruskan kewangan sering dikaitkan dengan kegagalan mencapai matlamat yang telah disasarkan.

Maka antara solusi dalam memantapkan lagi sumber kewangan organisasi adalah menjadi hub pemain-pemain bernilai tinggi. Kerana itu JDT menggandakan lagi usaha untuk mendapatkan pemain berpotensi dalam dan luar negara untuk diikat.

Ideanya pemain yang ditandatangani akan keluar untuk bermain di luar negara secara pinjaman supaya nilai pemain tersebut akan meningkat. Jika kelab yang dipinjamkan itu mahu membeli secara tetap, satu ‘price tag’ akan diletakkan kepada pemain tersebut.

Maka dengan strategi ini, suatu hari nanti kelab akan mempunyai deretan pemain-pemain bintang yang bernilai. Di mana pemain tersebut boleh mewakili kelab atau ditawarkan untuk dijual.

Tatacara aplikatif strategi perniagaan ini seharusnya akan menjana lebih banyak pendapatan. Maka organisasi Harimau Selatan akan terlindung dari kekangan masalah dana dan kekurangan sumber kewangan.

TERBUKTI BERKESAN!

Strategi ini terbukti berkesan dalam mengukuhkan kantung kewangan sesebuah organisasi secara nyata. Imbas kembali, sekitar tahun dua ribu tujuh belas, JDT memperolehi keuntungan yang besar setelah berjaya menjual pemain import prolifik Juan Martin Lucero dengan nilai AS$2.5 juta.

Pada musim hadapan Syahrian Abimanyu dari Indonesia, Liridon Krasniqi pemain naturalisasi JDT pula menjadi eksperimentasi terbaru gerakan intelektual organisasi.

Terbaharu, DYAM Tunku Mahkota Johor mendedahkan bahawa dengan hanya beberapa hari selepas JDT mengumumkan bahawa penyerang dari Argentina, Jonathan Herrera sebagai tenaga import baharu JDT pada 17 Januari 2021, pemain ini berjaya memberi untung berganda sekitar USD500k apabila berjaya dijual dengan harga USD1.3M berbanding harga asal USD800k!

ISU TUNDA TARIKH YANG MENJADI POLEMIK, JDT YANG MENJADI PUNCA?

Tarikh pendaftaran pemain import dilanjutkan?

Itu bukan isu baharu. Untuk makluman iainya berulang kali berlaku dalam sejarah bola sepak Malaysia.

Aplikatif tatacara tetap sama. Dahulu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga bertindak mendapat kelulusan daripada Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) berkenaan lanjutan tarikh untuk mendaftar pemain import dalam Liga Malaysia.

Imbas kembali, pada sekitar tahun 2012, FAM telah mencapai kata sepakat pada mesyuarat khas Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) kali ke-15 untuk melanjutkan tarikh pendaftaran pemain import kepada 13 Februari 2012 iaitu lebih kurang sebulan selepas tempoh pendaftaran sebenar tamat.

Sekali lagi terjadi, sekitar musim 2014, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melanjutkan tempoh pendaftaran pemain import lebih kurang dua minggu selepas tarikh sebenar tamat. Mantan Naib Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah ketika itu berkata, pihaknya telah merujuk kepada Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA).

Maka, konsekuensinya tindakan Malaysian Football League (MFL) adalah bertepatan dan bukan melanggar norma biasa pengajuran bola sepak Malaysia!

Secara rasional dan jujur, umpama langkah kanan, kelab bola sepak seperti Selangor FC dan Perak FC berpeluang mendapat kelebihan dari lanjutan tarikh pendaftaran pemain import ini berikutan kuota mereka masih belum dipenuhi.

Dan naratif negatif yang mengaitkan JDT sebagai punca lanjutan tarikh pendaftaran pemain import adalah tidak relevan malah lebih kepada sifat posesif individu-individu yang tidak dapat dibendung lagi.

Untuk pengetahuan umum, jika tarikh tidak dilanjutkan, JDT masih mempunyai penyerang prolifik dari Sepanyol Fernando Rodriguez yang bila-bila masa bersedia untuk beraksi untuk skuad utama Harimau Selatan.

Akhir kata, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah contoh paling ideal sebagai kelab yang mempunyai kewangan yang terjamin, penajaan yang menakjubkan, berdikari dan tegap berdiri atas kakinya sendiri.

Kita perlu menerima kelemahan diri untuk kita perbaiki dan bola sepak perlulah dijalankan seperti sebuah perniagaan. Wang Kerajaan milik rakyat. Itu faktual.”- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

 

Artikel oleh : Hafiz Othman

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply