IMBAS KEMBALI FEBRUARI 2016, PERTEMUAN-PERTEMUAN BERMAKNA DEMI BOLA SEPAK JOHOR OLEH TMJ

Imbas kembali tarikh bermula 25 Februari 2016 dan berlanjutan selama hampir dua minggu, pertemuan-pertemuan bermakna yang mencatat peristiwa besar telah dilaksanakan oleh pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

Pertemuan demi pertemuan dengan Presiden-Presiden kelab gergasi dan tersohor dunia seperti Nasser Al-Khelaifi Presiden Paris Saint-Germain, Mr Josep Maria Bartomeu Presiden Barcelona, Puan Chan Lay Hoon Presiden Valencia, Mr Miguel Angel Gil Marin Pemilik Atletico Madrid dan Mr Florentino Perez, Presiden Real Madrid telah memberi ruang buat kelab bolasepak JDT membina hubungan kerjasama antara kelab demi pembangunan bola sepak negeri Johor.

DYAM Tunku Mahkota Johor turut bertemu Mr Joan Laporta yang merupakan seorang tokoh penting dalam membantu Barcelona mencapai kejayaan selain peluang bertukar pendapat dengan Pengurus Valencia pada ketika itu iaitu Gary Alexander Neville dan Penolong Pengurus, Phillip John Neville serta berkesempatan meluangkan masa bersama pemain bola sepak terkenal dunia seperti Cristiano Ronaldo.

Selain itu, pertemuan turut diatur bersama Edwin Boekamp (Pengarah Teknikal Pembangunan Belia BVB), Caesar Ferrando Jiminez (Mantan Ketua Jurulatih JDT), Jorge Mendez (Ejen Pemain Cristiano Ronaldo dan Jose Mourinho) malah lebih mengejutkan adalah tawaran daripada Mr Miguel Angel Gil Marin, pemilik kelab Atletico Madrid yang telah menjemput JDT ke Madrid untuk perlawanan pra-musim 2017 bersama kelabnya.

Jelas bahawa selain membina hubungan rapat antara kelab, lawatan kerja tersebut memberi banyak ilmu yang berguna terutamanya dari pelbagai aspek bola sepak, fasiliti, kepakaran, teknikal, akademi, pemasaran dan lain-lain lagi yang berkaitan.

Lawatan ke stadium dan bandar sukan yang diuruskan oleh Mr Peter Draper, Pengarah Komersil & Pemasaran Valencia CF dan Mr Pere Gratacos Boix selaku Pengurus Bandar Sukan Barcelona turut memberi pelbagai idea tambahan dan penuh wawasan untuk dilaksanakan di stadium dan bandar sukan yang bakal dibina.

Pastinya hubungan kerjasama yang dibina memberi manfaat yang amat besar kepada kelab dalam memastikan kemajuan bola sepak negeri Johor. Kini JDT semakin melebarkan sayap tidak sahaja di pentas Asia malah dikenali di persada dunia melalui pencapaian-pencapaian serta penghargaan yang diperolehi oleh kelab, pemain dan juga para penyokong Harimau Selatan.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply