JDT DARIPADA SEBUAH CITA-CITA KINI MENDUNIA

Jika kita membaca satu ciapan dari DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor tentang projek besar Baginda tentang Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 2012 ianya seakan sebuah cita-cita yang besar.

Tidak ramai yang percaya ketika itu yang Baginda mampu mengambil alih sebuah kelab yang tidak mempunyai infrastruktur yang baik dan juga cuba memancing semua pemain terbaik negara.

Menerusi wawancara bersama Safiq Rahim baru-baru ini, beliau dengan bangga dan yakin bahawa apa yang pada ketika itu hanya ditunjukkan pada selembar kertas kini menjadi kenyataan dan bukannya omong kosong.

Bermula dengan cita-cita diikuti dengan kerja keras dan usaha berterusan berteraskan acuan bola sepak moden, kini JDT mendunia dan semakin mendapat perhatian penaja antarabangsa.

Dari penaja serantau kini perlahan-lahan satu demi satu jenama antarabangsa mula menjalin hubungan kerjasama dengan JDT. Jenama-jenama ini bukan hanya menaja tetapi menjadi rakan kongsi perniagaan JDT.

Mengapa JDT menjadi pilihan. Mudah sahaja kerana menerusi media sosial kelab sahaja jenama anda dapat dilihat lebih dari tiga juta mata. Belum dikira pendedahan peringkat domestik dan Asia menerusi penyertaan JDT di Liga Juara-Juara AFC.

Stadium Sultan Ibrahim bakal menjadi tempat pelancongan apabila ianya bukan hanya direka untuk perlawanan bola sepak tetapi lebih kepada pusat hentian setempat di mana pelawat boleh menjamu selera, berbelanja dan pastinya berswafoto sebagai kenang-kenangan.

Ketika pasukan lain dilihat masih ‘on the way’ dalam memilih logo, jurulatih dan pemain dalam peringkat awal penswastaan, JDT menerima penajaan dari francais Amerika, Subway. Ini adalah bukti jenama JDT sememangnya berjaya menarik minat penaja walaupun dikala pandemik Covid-19 yang menjejaskan ekonomi dunia.

Pemain JDT kelihatan segak memperagakan barangan latihan dan jersi tajaan Nike, bergaya dan menepati masa sesuai dengan jam tangan Hublot di tangan dan kini semakin SWAG dengan kenderaan elektrik sambil menjamu selera makanan sihat keluaran Subway.

Tidak salah untuk bermimpi dan bercita-cita, tetapi perlaksanaan adalah yang utama. Jangan berjanji bulan dan bintang tetapi akhirnya terbelit dan sebaiknya buat perlahan-lahan tetapi pasti. Luaskan Kuasamu Johor.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply