JDT KINI MENJANA PENDAPATAN KOMERSIAL HASIL KERJASAMA STRATEGIK

Tahun 2020 menyaksikan sukan bola sepak terjejas teruk ekoran penularan pandemik Covid-19 sekaligus menyaksikan tabung kewangan banyak pasukan semakin kering.

Pasukan bola sepak di Malaysia secara majoriti masih menjana pendapatan menerusi cara tradisional iaitu melalui bantuan kerajaan negeri dan juga hasil kutipan tiket perlawanan di tempat sendiri.

Perkara ini bukan salah tetapi jika pandemik seperti ini berlaku dan wang kerajaan negeri perlu didahulukan kepada rakyat serta beraksi dalam stadium tanpa penonton ianya pasti menjejaskan kestabilan ekonomi pasukan.

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) pula telah memasuki fasa penjanaan pendapatan menerusi kerjasama dan perjanjian komersil dengan pelbagai penaja tempatan dan antarabangsa.

 

 

Tahun 2021 bakal menyaksikan pelbagai kerjasama penajaan korporat seperti Nike, Hublot, SWAG, Subway dan yang terkini Spartan yang akan memberikan pendapatan alternatif kepada kelab selain dari perniagaan utama iaitu bola sepak.

Stadium Sultan Ibrahim menjadi tempat untuk JDT menjana pendapatan menerusi penyewaan ruang niaga dengan pembukaan rangkaian Subway dan pelbagai lagi kiosk makanan dan minuman yang pastinya memberi pulangan kepada kelab.

Perjanjian komersil dengan Spartan pula akan menyaksikan Stadium Sultan Ibrahim bertukar menjadi Spartan Stadion sebagai salah satu venue yang menganjurkan acara tahunan Spartan Race pada setiap bulan Jun bermula 2021.

Acara sukan berhalangan ini sangat popular dengan menerima penyertaan peserta dari pelbagai negara sekaligus bakal menaikkan jenama JDT di pentas antarabangsa selain menjana pendapatan menerusi sewaan stadium dan pelbagai cabang perniagaan yang boleh dilakukan ketika acara tahunan ini berlangsung.

Pandemik Covid-19 jelas membuka mata mereka yang realistik bahawa pendapatan kelab perlu dijana menerusi perkara diluar bidang bola sepak. Penyokong JDT perlu berbangga kerana kelab ini sentiasa bersedia walau apa jua keadaan yang melanda.

 

Apa yang dilihat pada mata kasar adalah kerjasama korporat dengan JDT tetapi sebenarnya ia lebih luas dengan merangkumi suntikan modal buat ekonomi negeri Johor kerana bakal menjana pelbagai peluang pekerjaan dan meletakkan nama Johor di pentas dunia bermula dari bola sepak.

Luaskan Kuasamu Johor.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply