JDT DAN PENYOKONG BERPISAH TIADA

Bertuah sebenarnya menjadi penyokong Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) kerana di JDT, suara penyokong adalah suara keramat bukan sahaja di dalam stadium malah hingga keluar stadium.

Semalam menerusi hantaran di laman sosial rasmi kelab oleh Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards beliau menyatakan bahawa pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor telah bertitah agar wakil penyokong JDT dipelawa untuk menghadiri mesyuarat lembaga pengurusan selepas ini.

Ini adalah satu pendekatan inklusif yang baik yang dilakukan oleh JDT. Dan ini juga bukanlah kali pertama para penyokong JDT diajak untuk bersama-sama meluangkan masa bersama TMJ dan mendengar apakah visi dan misi kelab selain mendapatkan maklum balas dari penyokong yang merupakan pemegang taruh terbesar kelab.

Sebelum ini, sesi bertemu penyokong dijalankan di JDT Cafe dan juga di Stadium Larkin dan sambutan yang diterima amat menggalakkan. Menerusi cara ini, para penyokong akan berasa lebih dekat dengan kelab selain keluhan penyokong dilihat sampai terus kepada TMJ dan perubahan dapat dilakukan.

Konsep milikan penyokong ini telah lama dilakukan oleh kelab-kelab besar Eropah dimana wakil penyokong mempunyai kuasa dalam menentukan undian dan hala tuju kelab serta terlibat dalam setiap keputusan yang dilakukan oleh lembaga pengurusan kelab.

Mengambil contoh bagaimana 12 kelab utama Eropah yang terpaksa akur membatalkan cadangan penubuhan Liga Super Eropah apabila mendapat tentangan daripada penyokong yang merasakan mereka diketepikan. Inilah yang dinamakan kuasa penyokong.

Di JDT semuanya dijalankan secara ‘transparent’. Penyokong tahu akan apa yang sudah berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku kerana di JDT segalanya dikongsikan ‘from top to bottom’ menerusi saluran yang tepat. Ini adalah antara rahsia kejayaan JDT di dalam dan juga di luar padang.

Ini kerana ramai penyokong yang mempunyai input yang baik dan boleh dikongsikan bersama pengurusan kelab dan pengurusan kelab juga boleh belajar sesuatu daripada penyokong dan kerjasama ini mewujudkan rasa harmoni dalam kelab serta menguatkan lagi semangat JDT Family.

Bagi pihak penyokong, Harimau Selatan ingin mengucapkan terima kasih kepada DYAM TMJ atas keprihatinan Tunku terhadap penyokong JDT. Kepada wakil penyokong pula, pastikan usul yang bakal dibentangkan nanti akan memberi manfaat kepada seluruh JDT Family dan bukannya bersifat individu atau sebaliknya.

Ini Johor Darul Ta’zim. Luaskan Kuasamu Johor.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply