IMPIAN LEBARAN JOHOR DARUL TA’ZIM

Berlalulah sudah Ramadan sebulan berpuasa, tiba Syawal kita rayakan dengan rasa gembira….itulah bait-bait lirik lagu Suasana Hari Raya yang dipopularkan oleh Anuar Zain dan Elina yang sering didendangkan oleh Boys of Straits tatkala memberi sokongan penuh kepada JDT.

Sokongan tidak berbelah bahagi mereka dan seluruh penyokong sememangnya diakui menjadi pendorong utama skuad JDT untuk tampil dengan persembahan yang cukup bertenaga dan meyakinkan.

Kini semua berehat untuk menyambut lebaran. Pelbagai aktiviti bersama keluarga dan sahabat handai telah dirancang bagi meraikan hari kemenangan umat Islam seluruh dunia.

Penyokong JDT kini sudah memasang impian untuk menyaksikan pasukan kesayangan ini merangkul kejuaraan Liga Super Malaysia buat kali keenam berturut-turut sejak 2014 dan memastikan slot automatik di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC 2020.

Berangan dan impian itu percuma tetapi kerja keras yang ditunjukkan oleh semua yang terlibat dalam JDT ditunjangi pemilik Mejar Jeneral Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor tidak boleh dipandang enteng.

Lihatlah apa yang telah berlaku di JDT. Sejarah demi sejarah ditempa dan mengorak langkah jauh kehadapan tanpa menoleh kebelakang meninggalkan pencabar yang masih mencari kesalahan dan bercakaran sesama sendiri.

Sempena Syawal ini, marilah kita sama-sama bermuhasabah dan kenang kembali detik hitam bola sepak Johor. Sebelum 2013 kita sama seperti pasukan negeri yang lain. Dipalit kontroversi dan gaji yang tidak berbayar. Semua ini perlu dikenang bagi memastikan kita tidak lupa akan sejarah.

Selamat Hari Raya diucapkan kepada semua.

Sambutlah Syawal dengan sederhana dan ingat sebagai penyokong kita mempunyai misi untuk turun ke stadium selepas ini bagi merealisasikan impian bergelar juara Liga Super sekali lagi.

Maaf Zahir dan Batin.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply