EKSPRESI KETAKUTAN MELAMPAU KEPADA JDT?

 

 

Bukan khayalan atau gangguan gejala parasomnia atau somnabulisme, impak inovasi dalam kewujudan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sebenarnya telah berjaya menaikkan martabat bola sepak negara yang selama ini dipandang sepi oleh negara serantau.

Namun fakta itu terhijab bagi pemerhati dan penyokong termasuk media sepak tempatan. Mereka lebih melihat JDT penyebab ‘paranoid superfluous’ atau ‘ekspresi ketakutan terlampau’ oleh pasukan dan kelab di Malaysia. Lebih berminat mengalahkan JDT dari menetapkan tanda aras yang lebih jauh. Tiada visi dan hala tuju yang jelas.

Masih ingat? Suatu masa dahulu, berpuluh-puluh tahun sebelum ini, liga domestik yang dianjurkan oleh badan penganjur utama Tanah air hanya dipandang sebagai sebuah liga yang tidak kompetitif, tiada berdaya saing dan tiada kualitatif. Ketika itu, liga penuh dengan birokrasi, penuh dengan korupsi. Manakala ketika mana-mana kelab Malaysia bersaing di kejohanan luar, wakil dari Malaysia hanya menjadi pelengkap perlawanan jika ada kejohanan yang menghimpunkan kelab-kelab terbaik dalam Asia Tenggara.

Kita juga hampir tertinggal jauh dengan kemajuan dan peningkatan kelab-kelab dari negara jiran seperti wakil kelab Liga Singapura malah untuk menewaskan kelab dari Indonesia juga kita tidak berdaya dan menjadi misi mustahil. Pasukan dari Malaysia kebanyakannya hanya gah pada nama dan sejarah purba. Jaguh kampung dan hanya berani melawan di kancah liga domestik.

Sinar Kembali Menerangi bolasepak Malaya

Namun segalanya telah berubah sekelip mata apabila kebangkitan dan revolusi radikal Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) hasil dari inspirasi dan gerak kerja sistematik DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja. Secara tidak langsung, bola sepak tanah air akhirnya menemui sebuah keajaiban apabila turut sama mendapat suntikan keyakinan.

Foto: Amrul Azuar Mokhtar

Sedikit demi sedikit nilai Liga domestik Malaysia mula meningkat. Dalam masa hanya beberapa tahun, orang luar mula celik mata akan kewujudan liga Malaysia.

Bermula Sebuah Catatan Unggul

Mari kita imbas kembali. JDT membuat penampilan pertama pada tahun 2015 dan berjaya mendakap Piala AFC buat pertama kali dalam sejarah bola sepak negara. Satu kejayaan yang tidak pernah difikirkan oleh pasukan di Malaysia dan tidak akan diperolehi sekiranya JDT tidak wujud.

Kita alih kepada kisah dan sejarah berkaitan Liga Juara-Juara Asia (ACL) pula. Sejak penstrukturan baharu yang telah dirangka oleh AFC dengan melakukan penggabungan Piala Pemenang Asia dan Piala Super Asia pada musim 2002/03 lalu menjadi Liga Juara-Juara Asia.

Liga Juara-Juara Asia (ACL) adalah kejohanan tahunan bola sepak antara kelab elit Asia. Pertandingan yang diselenggara oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berstatus kejohanan tertinggi di Asia dan menjadi impian semua kelab yang bernaung di bawah AFC.

Jangan pula kita lupa. Tiada rekod pasukan dari Malaysia sejak penjenamaan semula kejohanan ini pada tahun 2002. Liga Juara-Juara Asia hanya seperti mimpi yang amat mustahil dapat direalisasikan oleh pasukan dari Liga Malaysia.

Mimpi tidak selamanya menjadi mimpi, baginda berjaya mengubah impian menjadi kenyataan. Pada tahun 2019, JDT selaku kelab pertama dari Malaysia akan melangkah ke Liga Juara-Juara Asia (ACL). Segala hipotetikal DYAM Tunku Mahkota Ismail tidak boleh disangkal. JDT berjaya dipandang di mata Asia sebagai sebuah kelab kecil berjiwa besar.

Mulai daripada sejarah yang dicatatkan oleh JDT, perspektif dan mentaliti konvensional pasukan Malaysia yang dulunya hanya mementingkan pertandingan domestik dan hanya pelengkap jadual apabila bertanding di peringkat luar, kini nampak berubah. JDT pula menjadi pasukan yang digeruni di rantau ini.

Kalau tiada JDT, adakah kelab-kelab dan pasukan-pasukan di Malaysia betapa perlunya bersaing diperingkat tertinggi sebegini?

Berjuang Menaikkan Martabat Tanahair

Slot ACL adalah indikator dan pencapaian terbaru dalam perjalanan menempa kejayaan demi kejayaan JDT. Namun penampilan pertama JDT masih lagi diperlekehkan oleh pemerhati bola sepak tempatan. Media massa, tabloid dan media sosial tempatan bertindak seperti meminggirkan penampilan JDT.

Malah lebih kritikal ada diantara mereka bertindak mengharapkan JDT dibelasah secukupnya oleh kelab-kelab ternama Asia tersebut. Tiada publisiti, tiada ucapan taniah dan apa saja yang membantu dalam menaikkan semangat kelab ini untuk berjuang.

Tetapi itu tidak merencatkan sedikit pun hala tuju Harimau Selatan. Malah organisasi JDT lebih bermotivasi untuk lebih menonjol pada penampilan sulung kejohanan elit tersebut. Hasilnya kita berjaya menghimpit kelab-kelab elit tersebut malah mengheret mereka hingga ke perlawanan terakhir untuk menentukan slot ke peringkat seterusnya.

Penampilan pertama JDT dianggap luar biasa oleh negara-negara luar tetapi bagi pemerhati tempatan, JDT hanya sekadar bernasib baik. Ini adalah wajah dan mentaliti sebenar bola sepak Malaysia.

Akhir kata, situasi terbaharu, seperti trend terkini, Malaysia tiba-tiba di penuhi dengan individu yang tampil seperti seorang “revolutionary” bola sepak Malaysia. Di manakah mereka sebelum ini? Di masa bola sepak Malaysia diketawakan? Dimasa bola sepak Malaysia masih lagi kemunduran? Atau di masa karier bola sepak Malaysia tidak mendatangkan keuntungan?

Rasionalnya dan secara realistik, tanpa kehadiran DYAM Tunku Mahkota Ismail dan JDT dalam arena bola sepak tanahair, revolusi dan transformasi akal mundur bola sepak tempatan tidak akan berganjak.

Percayalah. Tanpa JDT, martabat bola sepak Malaysia hanya sekadar melukut di tepi gantang.

Kesimpulannya, ‘You can never be us’!.

“Saya telah dilabelkan sebagai pembunuh bola sepak Malaysia, dan kebanyakan pesaing saya dilabel sebagai wira.”- DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply