DIOGO LUIS SANTO HERO BAHARU HARIMAU SELATAN

Ketika Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan kehadiran pemain Brazil, Diogo Luis Santo dari Buriram United ke Larkin ianya dianggap satu keputusan yang sangat mengujakan buat para penyokong.

Peminat bola sepak Asia terutamanya cukup mengenali Diogo kerana rekod beliau bersama Buriram United tidak perlu dipersoalkan lagi. 101 jaringan dari 105 penampilan adalah satu rekod yang hebat dan membanggakan.

Beliau juga mempunyai pengalaman bermain di Liga Juara-Juara AFC (ACL) sebelum ini dan JDT sudah lama memerhatikan beliau sebagai prospek untuk membantu JDT menghadapi saingan ACL tahun ini.

Tiba dengan reputasi yang hebat pastinya mengundang jangkaan yang tinggi dari penyokong JDT. Di peringkat awal beliau dikritik kerana dikatakan tidak tajam di hadapan gawang tetapi kini barulah penyokong JDT sedar bahawa Diogo bukanlah penyerang nombor 9 klasik sebaliknya beliau adalah kunci kepada serangan JDT.

Kemahiran beliau mengawal bola dan membuat pusingan badan seringkali mengelirukan pertahanan lawan dan ia sekaligus membuka ruang kepada pemain lain untuk menjaringkan gol. Beliau juga adalah seorang ‘poacher’ kerana pantas membaca bola lantunan dan meletakkan bola ke dalam jaring.

Diogo Luis Santo semakin serasi dengan permainan JDT. Beliau bukan sahaja tersenarai dalam senarai penjaring tetapi juga dalam senarai bantuan penjaring. Bukan mudah untuk mencari pemain penyerang yang berjaya tersenarai di dalam kedua-dua kategori.

JDT juga berjaga menghasilkan dua jaringan di Liga Juara-Juara ACL hasil sentuham Diogo. Beliau juga dinobatkan sebagai pemain terbaik ketika perlawanan JDT bertemu Gyeongnam FC baru-baru ini.

Berkesempatan berbual dengan beliau selepas perlawanan, beliau menyatakan kehadiran hero bola sepak beliau, Ronaldo membuatkan bulu romanya tegak ketika mereka bertemu dan ia menjadi kunci kepada kesungguhan permainan beliau pada malam itu.

Berjaya mempamerkan persembahan bertenaga di hadapan hero beliau dan menerima kunjungan Ronaldo sejurus perlawanan dianggap antara detik terbaik dalam sejarah beliau sebagai pemain profesional.

Tugas Diogo di JDT masih awal dan beliau pasti akan lebih tajam dan memukau sekiranya beliau bebas 100% dari kecederaan. Keserasian beliau bersama Leandro Velasquez dan Safawi Rasid jelas terlihat ketika ini dan pasti akan mengundang resah pertahanan lawan.

Penyokong JDT kini sudah menemui hero baharu mereka. Selepas Figueroa, Diaz, Lucero dan Cabrera kini nama Diogo Luis Santo semakin meniti di bibir penyokong. Beliau pasti akan memberikan persembahan terbaik dan cuba membawa nama JDT lebih jauh di peringkat Asia.

Luaskan Kuasamu Johor

#Prayforpasirgudang

#Prayfornewzealand

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply