MALAM GILA ACL DI LARKIN

Gila. Itulah perkataan yang boleh saya rangkumkan untuk persembahan pemain dan penyokong JDT di Stadium Larkin semalam. Tiada kata lain yang lebih tepat kerana sememangnya malam ACL di Larkin itu sangat gila.

Corak permainan yang ditampilkan JDT sangat mengujakan dan memang membuktikan JDT berkelas Liga Juara-Juara AFC. Sayangnya kita gagal mendapat tiga mata. Namun mata pertama JDT di ACL bukanlah perkara yang mudah untuk dilakukan.

Pemain JDT bermain seakan dirasuk dan beraksi matian-matian dengan tahap ‘fitness’ yang cukup baik dan mengagumkan. Mereka bermain baik sepanjang 90 minit dan berhak pulang dengan tiga mata. Namun inilah bola sepak dan kesilapan yang berlaku akan mematangkan lagi para pemain muda JDT.

Perlawanan pertama Liga Juara-Juara AFC di Larkin sebenarnya banyak membawa kesan positif dan amat sesuai dibawa ke Liga Super Malaysia. Pelbagai undang-undang yang dikenakan oleh AFC menjadikan pengalaman menonton lebih selesa.

Tiada pasar malam atau bazar karat dibenarkan berada 250m dari kawasan stadium. Langkah yang baik kerana keadaan stadium lebih aman dan tidak bersepah dari sampah sarap yang masih menjadi masalah orang kita.

Sistem tiket bernombor juga menjadikan segalanya tenang dan terkawal. Tiada lagi aktiviti cop tempat dan masuk awal demi seat yang cantik kerana dengan tempat duduk bernombor semua penyokong tidak akan takut kehilangan tempat duduk. Langkah yang sangat baik.

 

Dengan keadaan penyokong yang selesa maka mereka berjaya menzahirkan sorakan Larkin hingga membuatkan oppa oppa Korea hilang punca dan pemain JDT bagai naik hantu.
Palang gol dilihat menjadi musuh utama JDT. Jika tidak penceritaan yang serba elok semalam akan bertambah manis dan menjadi sejarah yang lebih baik.

Padan muka jurulatih Gyeongnam FC yang sehari awalnya begitu berlagak mengatakan JDT bernasib baik ketika menentang Kashima Antlers dan mereka tidak takut dengan cuaca panas. Akhirnya mereka yang tertekan dan kelihatan pancit akibat bahang panas negara ini. Welcome to hell.

Buat penyokong JDT, anda memang fantastik. Atmosfera semalam sangat mengujakan. Desibel sorakan boleh mencecah angka yang tinggi jika diukur dengan tepat hingga membuatkan saya masih menggigil walaupun perlawanan sudah berakhir sejam. Semuanya gila apabila dibayangkan.

Inilah bukti jika kita mempunyai sasaran dan berusaha kearahnya tiada yang mustahil. Semua sangkakan kelab kerdil seperti JDT tidak akan mempunyai peluang di ACL tetapi yang sebaliknya berlaku. JDT membuktikan mereka bertaraf ACL dan pasukan yang bertandang ke Larkin harus membuka mata bahawa yang bakal mereka tentang adalah penyokong dan pasukan Johor Darul Ta’zim.

Luaskan Kuasamu Johor.

Foto: Ezreen Abd Talip & Nizam Rahman – www.asiana.my

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply