Sebagai manusia, kita sebenarnya dikurniakan pelbagai nikmat dari Tuhan sehinggakan ada kalanya kita terlupa dan tidak bersyukur dengan segala pemberian-Nya.
Dalam konteks kita sebagai penyokong Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), tiga keputusan yang kurang berpihak kepada kita di peringkat Asia diterima dengan rasa yang kurang enak seolah-olah kiamat dunia.
Pelbagai kata-kata kurang sopan dilontarkan kepada pejuang kita di atas padang bagaikan orang hilang pedoman sedangkan Harimau Selatan masih kekal dalam semua pertandingan yang disertai.

Sikap kurang matang ini ditegur sendiri oleh pemilik JDT, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang tanpa basa basi terus mengadakan perjumpaan bersama penyokong untuk menjelaskan mengenai isu-isu yang berbangkit.
Tunku Ismail menuntut kita para penyokong untuk berfikir dan menilai menggunakan data dan statistik dan bukannya terikut-ikut rentak pembenci pasukan kita.
Kita dikurniakan sepasang mata untuk melihat tetapi kita lebih gemar menggunakan sepasang telinga untuk menilai dan membuat keputusan hingga menjejaskan keharmonian di kalangan para penyokong.
Laman ini kerap memberikan pesanan bahawa semua pihak luar gembira melihat kita semua mula goyang dan tidak lagi berada di belakang pasukan kerana itulah detik buat mereka untuk menyucuk dan mengadu domba.
Kita sememangnya bertuah kerana memiliki pemilik kelab yang sentiasa cakna dengan kebimbangan para penyokong. Bandingkan dengan pasukan lain yang penyokong mereka terpaksa meminta-minta untuk bertemu pengurusan kelab.

Tetapi adakah kita memberikan sikap yang sama. Tidak. Kehadiran ke stadium semakin berkurangan. Alasan demi alasan dicipta untuk menyelamatkan diri malah tiket final Piala FA juga tidak sehangat dahulu.
Apakah jadi salah sebuah pasukan sering layak ke final dan menimbulkan rasa bosan pada penyokong. Jika pemain diletakkan dengan mentaliti setiap final umpama final pertama, mengapa kita sebagai penyokong tidak mempunyai keghairahan yang sama.
Jawapannya cukup mudah. Kerana kita menilai menggunakan telinga dan bukannya mata. Lebih sedap mendengar kritikan dan auta dari melihat dengan data dan fakta.
Apa jua keputusan di final Piala FA, Liga Super, Liga Juara-Juara AFC Elite dan juga Piala Shopee, pemain sudah memberikan segala-galanya dan kita sebagai penyokong perlu kekal tenang dan kukuh di belakang pasukan.

Jika bukan kita yang mendukung pasukan, siapa lagi yang boleh kita harapkan. Ubah mentaliti dan ingat, kita Johor Darul Ta’zim. Kita unik dan kita fantastik.
Luaskan Kuasamu Johor.
