BUAT PENYOKONG JDT – LIHAT, DENGAR DAN RASAKAN

Sedar atau tidak, kini cuma tinggal dua hari sahaja lagi untuk permulaan musim 2023 dan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) semakin bersedia untuk memulakan kempen baharu dengan perlawanan Piala Sumbangsih Jumaat ini.

Terengganu FC bakal menjadi lawan, pasukan yang kita tewaskan tiga kali musim lalu di gelanggang sendiri, gelanggang lawan dan juga gelanggang berkecuali dan adakah mereka sekali lagi menjadi mangsa kekalahan sekaligus menjadi saksi kita menjulang trofi ke-23 dalam sejarah kelab.

Tiga perkara utama ini perlu kita simpan dalam fikiran sebagai penyokong setia yang fanatik tetapi dalam masa yang sama menjadi penyokong yang realistik dan penuh dengan fakta.

Perkara pertama adalah LIHAT. Cuba lihat bagaimana persiapan pasukan menjelang aksi pembukaan ini. Lihat bagaimana pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor melakukan tugas Baginda bagi memastikan semua yang terbaik buat kelab dan juga para penyokong.

Lihat juga bagaimana terujanya kita para penyokong hadir ke majlis pelancaran jersi dan mengeluarkan belanja untuk membeli jersi selain membeli pas bermusim yang semakin hari semakin popular untuk membantu kewangan kelab. Luar biasa bukan.

Selepas LIHAT, kita perlu DENGAR. Dengarkan apa yang diperkatakan oleh TMJ tentang bagaimana dia mahu membina dan menambah baik kelab kesayangan kita ini. Dengarkan juga jerit pekik pemain dan barisan kejurulatihan yang mahukan yang terbaik dari setiap aksi bagi menggembirakan kita semua.

 

Dengar juga apa kata para pengkritik yang tidak pernah hilang idea untuk mengkritik JDT. Biarkan mereka bercakap dan kita hanya dengar dan teruskan tersenyum kerana kita sedar kita sudah di tahap yang lain.

Selepas LIHAT dan DENGAR kita juga RASAKAN. Rasakan denyut nadi TMJ, para pemain, barisan kejurulatihan dan juga para penyokong yang sudah mendukung pasukan ini sejak dari zaman gelap hingga ke zaman gemilang.

Rasakan perit jerih yang perlu dihadapi kita semua sebelum berada di tahap ini. Rasakan juga sorakan yang kita lontarkan kepada pasukan tanpa mengira lawan. Rasakan juga gegaran dan debaran yang dirasai pemain lawan saat melangkah masuk ke padang.

Jumaat ini ayuh ramai-ramai kita gegarkan stadium dengan sorakan yang tidak boleh dilupakan sesiapa pun yang hadir. Jika kita berjaya LIHAT, DENGAR DAN RASAKAN, kita akan mempunyai jiwa yang mantap untuk bergelar penyokong JDT dan akan mula kurang beralasan untuk tidak hadir ke stadium.

Akhir kata, berjuanglah dan bersiaplah untuk menjadi pemenang. Melompatlah lebih tinggi di atas normal kerana ini semua tentang kita yang akan menjadi sebuah kisah klasik untuk masa depan. LIHAT, DENGAR DAN RASAKAN.

Luaskan Kuasamu Johor