TIGA PERLAWANAN TANPA KALAH, TANPA BOLOS BUKTI PEMAIN SERASI SISTEM SOLARI

Selepas mengharungi tiga perlawanan awal Liga Super, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya mencatat mata maksimum dan yang paling menarik, tidak bolos membuktikan para pemain kini semakin serasi dengan sistem permainan Esteban Solari.

Solari yang dibawa masuk sebagai pengendali baharu hujung tahun lalu hadir memikul harapan yang tinggi daripada para penyokong yang mahukan kelainan dalam aksi yang mampu menarik kehadiran mereka ke stadium.

Selepas tiga perlawanan, jelas terbukti para penyokong mula menggemari corak permainan yang ditunjukkan oleh Harimau Selatan apabila cemerlang menjaringkan 10 gol di tempat lawan dan dua jaringan di tempat sendiri.

Benteng JDT juga dilihat semakin kebal dengan tiga set pertahanan telah dicuba dan kesemuanya menampilkan aksi yang baik dengan kombinasi dan komunikasi yang bagus dapat dilihat dikalangan para pemain yang diturunkan.

Persaingan yang sihat dalam pasukan juga telah melahirkan pemain yang lebih bagus dengan semangat yang luar biasa kerana mahu membuktikan kemampuan masing-masing bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama.

Corbin Ong, Diogo, Shane Lowry dan Akhyar Rashid membuktikan perkara ini dalam aksi di Paroi apabila menunjukkan persembahan yang mantap sehingga kita terlupa JDT turun tanpa Bergson, Afiq, Shahrul dan Leandro.

Kelebihan ‘squad depth’ ini digunakan sebaiknya oleh Solari dalam memastikan sistem permainan JDT termasuk sistem penggiliran pemain dapat dilakukan dengan berkesan dan memberi manfaat kepada pasukan.

Para penyokong juga membuktikan mereka sentiasa berada di belakang pasukan apabila berjaya memenuhi segenap ruangan tempat duduk pasukan lawan di Cheras dan Paroi selain ketika perlawanan pertama di Iskandar Puteri.

Jika lebih 31,000 penyokong hadir pada aksi pembukaan, Harimau Selatan menjangkakan lebih ramai yang akan hadir pada aksi menentang Kelantan nanti kerana perlawanan berlangsung pada sebelah petang.

Pemain dan barisan kejurulatihan sudah membuktikan apa yang mampu mereka lakukan dan kini giliran para penyokong pula hadir ke Stadium Sultan Ibrahim untuk memberikan sokongan pada kepada JDT.

Tiga perlawanan, 12 gol, sifar bolos dan permainan yang menarik sudah cukup menjadi sebab mengapa SSI perlu dipenuhkan hujung minggu ini. Tidak banyak yang diminta oleh kelab, hanya hadir dan soraklah untuk mereka. Ayuh semua penyokong, Luaskan Kuasamu Johor.