SSI HILANG AURA KERANA SIKAP KITA SEBAGAI PENYOKONG?

Terbuntang mata kita semua melihat gawang Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dibolosi sebanyak tiga kali dalam satu perlawanan domestik sebelum ini yang mana pada suatu ketika dianggap sebagai tugas yang mustahil buat pasukan lawan.

Sesuatu yang mustahil itu akhirnya menjadi kenyataan apabila Negeri Sembilan FC dengan selamba mencemaskan kita semua sebelum kualiti anak tempatan, Arif Aiman Hanapi melenyapkan mimpi awal sang pemuja rahsia untuk melihat Harimau Selatan tersungkur di laman sendiri.

Persoalan demi persoalan menjadi modal perbualan bermula dari kedai kopi hingga ke media sosial tentang siapa yang patut dipersalahkan mengenai hal ini dan mengapa ianya terjadi di kubu kuat kita.

Barisan kejurulatihan menjadi arah yang paling mudah untuk dituding kerana melihat mereka seakan-akan tidak ada rasa hormat pada pasukan lawan dan memandang mudah perlawanan Liga Super.

Ada juga yang menyalahkan pemain-pemain baharu yang dikatakan masih tidak serasi dan memerlukan waktu kononnya untuk lebih tajam hingga kita gagal menguasai penuh perlawanan.

Malah, ada juga yang menuding kepada pemilik kelab, DYAM Tunku Mahkota Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor kerana dikatakan terlalu mempercayai ejen pemain dengan mengambil pemain import yang kurang berkesan dan tidak sesuai dengan cara permainan pasukan.

Begitulah sikap kita yang mudah menyalahkan semua orang kecuali diri sendiri. Sedarkah kita semua, bahawa aura padu di Stadium Sultan Ibrahim semakin berkurangan kerana sikap kita yang tidak lagi turun ke stadium.

Memilih perlawanan, hari kerja, tiket mahal, parking susah, jalan jem, anak sekolah dan pelbagai lagi helah masih dijadikan alasan untuk tidak ke stadium tetapi alasan yang sama hilang jika melibatkan perlawanan besar dan merebut piala.

Alasan demi alasan inilah yang menyebabkan lawan ketawa melihat kubu kuat kita sudah tidak kebal dan mereka mempunyai cara untuk menjadikan stadium ini lebih diam umpama rumah mayat di hospital.

Pelbagai cara dilakukan kelab terutama Tunku Mahkota Ismail yang mahu memberikan segala-galanya terbaik buat penyokong JDT namun alasan demi alasan masih menjadi barah dan semakin parah.

Iya benar dalam dua perlawanan penyokong kita mencatat angka paling tinggi tetapi itu tidak cukup kerana kita adalah Johor Darul Ta’zim. Tatkala penyokong kelab lain mendambakan kejayaan dan segala yang ada di JDT, kita pula semakin alpa.

Memenuhkan stadium ini adalah tanggungjawab kita bersama sebagai penyokong. Beli pas bermusim, pada yang mampu beli corporate box dan dengan tiket serendah RM10, apa lagi yang kita mahukan sebagai penyokong.

Benar, ada pelbagai masalah timbul dari operator jualan tiket yang sememangnya terkenal dengan sikap tidak peduli, namun ini bukanlah alasan untuk kita tidak turun ke stadium. Sikap penyokong sepatutnya seiring dengan apa yang dimahukan Tunku Ismail terhadap kelab iaitu ‘Elevate’.

Bagaimana mahu ‘elevate’ jika sikap penyokong masih di takuk lama dengan pelbagai alasan diberikan saban tahun sedangkan pasukan semakin maju bukan hanya di pertandingan tempatan malah hingga peringkat antarabangsa.

Ayuh semua penyokong. Hentikan beralasan dan pastikan stadium kita sentiasa penuh bagi mewujudkan kembali aura yang menakutkan buat pasukan lawan yang bertandang.

Ingat semua, jangan beralasan dan hadir ke stadium. Pastikan juga jangan hanya datang menyaksikan tetapi hadir sebagai saksi sebuah kejayaan. Ini Johor Darul Ta’zim. Luaskan Kuasamu Johor.