TMJ TAHU YANG TERBAIK UNTUK JOHOR

“Bila orang tanya kepada anda semua, apa dia negeri Johor. Apa yang ada dalam hati masing-masing? Jika saya ditanya apa dia negeri Johor? Jawapan saya JOHOR adalah segala-galanya.” – DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

 

Semalam setelah beberapa ketika netizen menanti kenyataan rasmi daripada DYAM Tunku Mahkota Johor berkenaan isu kekangan JDT untuk menyertai kejohanan ACL baginda telah memberikan jawapan ringkas dan tepat.

Jawapan daripada sisi jiwa besar pemilik bolasepak Johor Darul Ta’zim untuk menerima keputusan pihak Majlis Keselamatan Negara walaupun selama ini sememangnya JDT menjadikan ACL sebagai target dan medium pemasaran JDT di peringkat global.

Sedang ada pihak yang menanti jawapan yang sebaliknya untuk melihat baginda melawan arus, baginda bertindak sebaliknya. Malah baginda sebelum ini turut mendoakan kesejahteraan dan kesihatan kepada seluruh rakyat Malaysia sewaktu kita menghadapi saat paling sukar sekarang.

Sebagai rakyat Johor dan penyokong JDT, sememangnya sudah kenal benar dengan sisi jiwa murni Tunku Mahkota Johor kami. Seorang putera raja yang senantiasa meletakkan keutamaan kepada rakyat Johor nombor satu. Sisi diri baginda sememangnya sentiasa tegas dan tajam patah perkataannya yang kadang kala memadamkan isi yang lebih penting.

Selain daripada sukan bolasepak yang sedia tahu, baginda akan sentiasa menggunakan apa cara jua untuk memperkenalkan negeri Johor. Baru-baru ini pasukan Polo milik DYAM Tunku Mahkota Johor, JOHOR Ellerstina telah memenangi Juara Tortugas 2020 di Argentina.

Turut tidak dilupa bagaimana TMJ selaku Penaung DiRaja Persatuan Tinju Johor telah memberi sokongan penuh sehingga peninju professional Johor, Muhammad Farkhan Haron menjulang tali pinggang Juara Antara Benua Persekutuan Tinju Antarabangsa (IBF) pada 2019.

Perlantikan DYAM Tunku Mahkota Johor untuk mengetuai dan memimpin semua aktiviti belia di negeri Johor turut memberikan satu lagi tugas dan amanah berat baginda kepada rakyat negeri Johor secara khusus. Nampak mudah tetapi perlu diingat belia adalah pelapis masa depan.

Jika kita silap langkah sekarang, sudah pasti di masa depan kita pasti sukar. Sudah pasti perlantikan TMJ yang memiliki karisma dan kematangan dalam memimpin anak muda pasti memberikan harapan kepada masa depan Johor.

 

Sejarah tidak pernah menipu. Negeri Johor Darul Ta’zim sudah pernah gemilang sejak zaman pemerintahan Sultan Sir Abu Bakar Ibni Temenggong Daeng Ibrahim lagi. Oleh itu, terus kekalkan perpaduan sesama kita dan tolak semua anasir-anasir luar yang sentiasa mahu memecahkan perpaduan ini.

Luaskan Kuasamu Johor.

 

 

 

 

 

 

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply