TERUKIR SENYUMAN SAKSI PESTA GOL JDT

Siapa yang hadir ke Stadium Sultan Ibrahim meredah hujan yang membasahi tanah Jauhar pastinya terpukau dengan aksi cemerlang anak buah Benjamin Mora ketika menumbangkan Sarawak United 6-0.

Seakan-akan mengamuk, Harimau Selatan tidak menunggu lama untuk menyerang ke kubu si Bujang Senang yang nyata bukan lawan sebenar dan terpaksa akur dengan aksi permainan bola sepak sebenar JDT.

Empat gol terhasil dari ‘open play’ dengan serangan balas yang pantas dan apa lebih menarik adalah dua gol pula berjaya diperolehi daripada ‘set pieces’. Sudah lama JDT tidak menjaringkan gol menerusi ‘set piece’ dengan gol keempat yang cukup menarik gerakannya.

Tambah menarik, siapa pun yang masuk ke padang tidak menjejaskan langsung corak permainan pantas dan ‘fluid’ yang menyaksikan lawan tercungap-cungap dan hanya mampu memegang bola tidak lebih dari tiga kali sebelum dirampas semula.

Inilah yang dapat disajikan barisan pemain JDT sekiranya pasukan lawan bermain secara terbuka dan 10 gol yang berjaya dihasilkan dari tiga perlawanan cukup meyakinkan dengan Bergson dan Forestieri dilihat selesa berganding.

MVP, Arif Aiman pula tidak perlu dipertikaikan kemampuan beliau apabila dua assist yang cantik menyaksikan beliau kini mendahului senarai dengan tiga assist dari tiga perlawanan dan semua ini berlaku ketika beliau berusia 20 tahun.

Farizal Marlias dan siapa pun pertahanan yang diturunkan menjadi kubu kuat apabila kini berjaya mengekalkan clean sheet kepada lapan perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim sejak September 2021.

Ini adalah hari yang indah buat kita semua penyokong JDT. Perlawanan awal jam 8.15 juga menarik apabila berjaya pulang lebih awal ke rumah dengan keputusan yang mampu membuat kita tersenyum.

Tetapi ingat, perjuangan masih awal. Hari ini hari ini, hari esok hari lain. Yang tadi cerita tadi, yang sekarang, cerita sekarang. Jadi apabila kita mendapat peluang, kita perlu berikan yang terbaik.

Akhirnya, itulah yang dilakukan JDT apabila mengambil kesempatan berpesta gol dan masih kelihatan bernafsu untuk memburu lebih gol walaupun lawan sudah mengalah dan kini, singgahsana liga kita rajakan.

Kekal tenang kekal sokongan, kekal sayang kekal gandingan. Ini Johor Darul Ta’zim. Luaskan Kuasamu Johor.

 

Foto: Hazri Sharani – HS

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply