TERUBAT RINDU STADIUM SULTAN IBRAHIM KEMBALI PENUH

Sebagai seorang pemegang pas bermusim, saya tidak pernah gagal untuk hadir ke setiap perlawanan JDT di bermula dari Stadium Larkin hinggalah sekarang di Stadium Sultan Ibrahim.

Selepas hampir setahun tidak menjejakkan kaki ke stadium akibat Perintah Kawalan Pergerakan yang dikenakan ekoran penularan pandemik Covid-19, saya kembali ke stadium tetapi hati masih kecewa kerana stadium tidak penuh.

Rasa rindu untuk melihat stadium keramat ini kembali penuh akhirnya terubat ketika perlawanan suku akhir kedua menentang Kedah semalam. Lebih 16,000 penyokong hadir sekaligus memberikan suasana sokongan yang luar biasa.

Biarpun hanya 50% kapasiti dibenarkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara, ianya sudah cukup untuk mewujudkan satu atmosfera yang gemuruh yang boleh mendatangkan gerun kepada pasukan pelawat.


Meremang bulu roma ketika membuat ‘viking clap’ bersama-sama Boys Of Straits menjelang sepak mula diikuti ‘chant’ berhantu Ayuh Johor yang secara automatik menaikkan semangat bukan sahaja pemain malah semua penyokong yang membanjiri stadium.

Semua penyokong dilihat terhibur dengan persembahan yang disajikan oleh kedua-dua pasukan yang akhirnya menyaksikan JDT berjaya membenam cabaran Kedah untuk layak ke peringkat separuh akhir.

Gamat suasana stadium ketika Arif Aiman meledak gol tunggal perlawanan yang menggembirakan para penyokong yang sebelum itu resah kerana bimbang keputusan tidak memihak kepada JDT.

Rasa lega dan gembira nyata kelihatan pada wajah para penyokong yang masih berdisipin mematuhi SOP walaupun sedang bersorak sorai meraikan jaringan itu.

Suasana tambah meriah apabila pengadil meniupkan wisel penamat sekaligus menamatkan saingan Kedah dan JDT melangkah bergaya ke separuh akhir dengan Terengganu menanti untuk dicabar.

Inilah magis kehadiran penyokong ke stadium. Satu suasana yang hanya dapat dirasai dengan hadir menyaksikan perlawanan secara langsung di hadapan mata. Rasa cemas, gelisah, bimbang dan gembira silih berganti menambah lagi debaran.

Kepada penyokong JDT, terima kasih dan tahniah kerana telah hadir ke stadium dan berjaya mematuhi SOP dan arahan marshall untuk memastikan keselesaan dan keselamatan semua pihak terjamin.

Terima kasih juga kepada penyokong Kedah yang hadir dan bawa pulang pengalaman ini sebagai kenangan terindah untuk anda dan ceritakan kepada teman tentang hospitaliti yang telah diberikan oleh penyokong JDT.

Ayuh semua penyokong JDT. Sekali lagi kita penuhkan stadium untuk perlawanan separuh akhir nanti. Buat penyokong Terengganu FC, selamat datang ke Stadium Sultan Ibrahim.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply