PENGURUSAN PEMAIN ANTARA NADI KEJAYAAN JDT

Kejayaan yang diperolehi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) di dalam dan di luar padang bukanlah perkara baharu dikalangan penyokong bola sepak tempatan.

Sejak ditubuhkan pada tahun 2013, JDT berjaya mencipta penanda aras baharu bola sepak tempatan hingga muncul kelab bola sepak paling professional dari sudut pengurusan hingga ke fasiliti yang disediakan.

Antara nadi dan faktor kejayaan JDT adalah kejayaan mereka mengurus pemain. Pemain dianggap aset oleh JDT dan segala kebajikan pemain sentiasa dijaga terutama oleh pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

Baginda yang mempunyai latar belakang ketenteraan menerapkan semangat ‘no man leave behind’ dalam menguruskan para pemain JDT. Walaupun dipenuhi bintang, tetapi TMJ tegas menyatakan bahawa tiada siapa yang lebih besar daripada kelab.

Oleh itu kesemua pemain dianggap sama dan mereka perlu bekerja keras bagi memastikan mereka berjaya menembusi barisan kesebelasan JDT. Segalanya diukur menerusi prestasi di pusat latihan dan bukannya atas dasar populariti.

Bukan hanya pemain yang meledak gol dijaga kebajikannya, pemain yang cedera juga dijaga baik oleh JDT hingga mereka pulih sepenuhnya dari kecederaan. Mereka dihantar hingga ke Barcelona bagi mendapatkan rawatan hasil kerjasama JDT dengan doktor pakar yang berpusat di sana.

Gary Steven Robbart, Zaquan Adha, Ramadhan Saifullah, Azrif Nasrulhaq, Rozaimi Abdul Rahman semuanya diberikan rawatan terbaik dan kemudiannya diberikan peluang beraksi kembali selepas pulih dari kecederaan yang dialami.

Selain itu, jika berlaku bencana kepada pemain, TMJ dan JDT akan memastikan kebajikan pemain dan keluarga dijaga bagi memastikan pemain kembali bersemangat dan rasa dihargai. Ini yang berlaku kepada Syafiq Ahmad apabila beliau terlibat dalam kemalangan yang teruk.

Terbaharu, ramai penyokong yang terkejut dengan prestasi baik Guilherme De Paula yang sebelum ini dilabel sebagai pemajn yang malas. Tetapi di JDT, sebaliknya berlaku apabila beliau kerap melakukan tekanan kepada lawan dan berlari di sepanjang perlawanan.

TMJ menjawab persoalan itu apabila Baginda menyatakan jika De Paula tidak berlari di JDT, beliau akan dihantar berenang di kolam buaya. Inilah yang dinamakan ‘man management’ yang menuntut profesionalisme dari setiap pemain selepas apa yang telah kelab berikan.

Selain itu denda yang dikenakan kepada para pemain jika melakukan kesalahan yang sudah ditetapkan kelab pastinya akan menjadikan pemain lebih berdisipin sekaligus membina diri mereka sebagai atlet yang cemerlang.

Inilah JDT. Perkara-perkara ini sangat penting dalam menguruskan pemain bola sepak. Bukan hanya gaji tetapi kebajikan dan sokongan moral dari pemilik dan pengurusan menjadi kekuatan untuk setiap pemain memberikan aksi terbaik apabila diturunkan.

Kepada pasukan lain, lihat di sekeliling anda. Adakah perkara-perkara ini dipraktikkan. Tepuk dada tanya selera. Fikir-fikirkanlah. Luaskan Kuasamu Johor.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply