TAHNIAH SELANGOR FA DAN TERENGGANU FC – KAMI PERLUKAN PERSAINGAN SIHAT

Sebagai penyokong JDT dan juga bola sepak Malaysia terbit rasa bangga dan kagum dengan usaha yang sedang dilakukan oleh Selangor FA dan Terengganu FC dalam menambahbaik kualiti pusat latihan dan padang stadium.

Perkara ini saya sambut baik kerana kelab seperti JDT perlukan pesaing domestik bagi memastikan liga menjadi semakin menarik dan sekaligus menaikkan gred Liga Super Malaysia.

Saya cukup memahami rasa teruja yang melanda penyokong Selangor dan Terengganu melihat perkembangan positif kelab masing-masing kerana ianya rasa yang sama saya alami pada tahun 2012-2013 ketika JDT mula berevolusi.

Penyokong Selangor yang terkenal dengan sikap matang dan berterus terang kini kembali boleh mengangkat muka setelah sekian lama menyaksikan pasukan kesayangan mereka diuruskan oleh mereka yang tidak tahu erti bola sepak.

Kini, FA Selangor diterajui oleh DYTM Raja Muda Selangor dan baginda dikelilingi individu-individu yang faham akan kehendak penyokong dan apa yang penting mereka faham apa itu erti bola sepak moden.

Tanpa Selangor yang kuat dalam Liga Malaysia seakan memberi gambaran kurang manis kepada penyokong kerana Selangor umpama pelaris liga dan kini kuasa itu beralih kepada JDT. Nasib baik pengurusan Selangor membuka mata dan berusaha merampas kembali kuasa itu.

Buat Terengganu FC pula, mereka adalah pasukan kedua yang mencontohi lakaran biru JDT dan ia semakin menunjukkan hasil. Mereka juga tidak malu untuk meminta bantuan MFL bagi memastikan padang di Stadium Sultan Mizan berada pada tahap terbaik.

Terengganu juga mempunyai penyokong yang mantap dan mempunyai jiwa. Jika mereka mampu penuhkan stadium bandar pada setiap perlawanan, tidak mustahil stadium baharu ini juga akan penuh jika mereka berpuas hati dengan corak permainan TFC.

Jika JDT diletakkan sebagai penanda aras pemodenan bola sepak Malaysia, Selangor dan Terengganu boleh berbangga menjadi pasukan yang mengikut jejak JDT tetapi berbelanja mengikut kemampuan sendiri. Ini yang penting demi kelangsungan bola sepak. Tidak guna mempunyai fasiliti yang canggih jika kantung pasukan kosong dan dipenuhi hutang.

Sekali lagi tahniah buat Selangor FA dan Terengganu FC. Kami perlukan anda dan kami ucapkan terima kasih kerana berani mengorak langkah untuk berubah. Mari sama-sama naikkan kualiti liga dan bersaing secara sihat dan profesional. Fikir-fikirkanlah.

Share this...
Share on Facebook
Facebook
Tweet about this on Twitter
Twitter
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*