AFIQ FAZAIL MAESTRO PADANG MENINGKAT NAIK

Melihat kepada senarai pemain yang dipilih mengikuti kem kebangsaan bagi menghadapi kelayakan Piala Asia, nama Afiq Fazail masih gagal memikat hati pengendali negara, Tan Cheng Hoe.

Afiq Fazail kini bukanlah pemain biasa tetapi beliau kini adalah pemain harapan JDT dan beliau juga membuktikan bahawa beliau tenang di atas padang. Persembahan beliau semakin menghampiri tahap maestro padang.

Jika sebelum ini JDT bergantung harap kepada Safiq Rahim dan Natxo Insa dalam usaha mengemudi bahagian tengah, kini peranan kedua-dua pemain ini berjaya diperankan dengan baik oleh Afiq.

Semua maklum Safiq cemerlang sebagai perancang manakala Natxo pula bertindak baik sebagai pemain tengah bertahan dan mereka membentuk gandingan serasi bersama Hariss Harun yang tidak perlu diperkenalkan lagi.

Afiq atau lebih dikenali sebagai Jambu dikalangan rakan sepasukan kini dilihat semakin matang dalam mengisi kekosongan yang ditinggalkan Natxo dan beliau sangat selesa bergandingan dengan Hariss dan Nazmi.

Berusia 24 tahun, pemain ini sepatutnya dipilih mewakili negara kerana pengalaman yang ada pada beliau bukan calang-calang kerana beliau adalah muka tetap dalam kesebelasan JDT di Liga Juara-Juara AFC.

Pada usia yang muda dan sudah mempunyai pengalaman di peringkat tertinggi kelab Asia, adalah satu kerugian buat Malaysia kerana masih tidak nampak akan potensi sebenar beliau.

Mungkin belum rezeki beliau tetapi harus diingat beliau adalah antara aset yang kini membawa JDT memecah rekod demi rekod dan corak permainan beliau pasti akan lebih bagus pada masa akan datang kerana beliau sudah didedahkan dengan bola sepak tertinggi pada usia yang muda.

Buat Jambu selamat maju jaya diucapkan dan anda berjaya menutup mulut pengkritik anda dengan memberikan persembahan cemerlang setiap kali anda diturunkan. Teruskan bekerja keras dan jauhkan diri dari kontroversi.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply