SEDIKIT SEJARAH JOHOR DALAM SAINGAN PIALA MALAYSIA, PIALA TERTUA DI ASIA TENGGARA

 

SEDIKIT SEJARAH JOHOR DALAM SAINGAN PIALA MALAYSIA, PIALA TERTUA DI ASIA TENGGARA

Oleh: Mohamad Haniff

PIALA MALAYSIA! Piala keagungan katanya. Musim ini adalah edisi ke 93 Piala Malaysia yang merupakan kejohanan tertua di Asia Tenggara. Piala yang menjadi rebutan semua pasukan yang bertanding semenjak tahun 1921 lagi. Lihatlah betapa prestijnya kejohanan ini kerana bukan semua pasukan yang bertanding dalam liga Malaysia layak menyertainya. Akan tetapi Piala Malaysia ini boleh di katakanan kejohanan kelas ketiga di mata Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) kerana juara kejohanan ini tidak akan di tawarkan tiket ke mana-mana kejohanan Asia. Alangkah ruginya dek kerana format pertandingan ala karnival, juara Piala Malaysia hanya gah di dalam negara sahaja.

Tetapi tanyalah kepada bekas-bekas pemain bola sepak di Malaysia. Pastinya kejohanan Piala Malaysia ini menyimpan seribu kenangan dan nostalgia kepada mereka lebih daripada kejohanan liga mahupun Piala FA itu sendiri. Bagi pasukan bola sepak negeri Johor, pastinya kejayaan 1985, 1991 dan 2017 tetap bersemadi di dalam ingatan semua peminat.

Pasukan Johor buat pertama kali berjaya menjulang Piala Malaysia pada tahun 1985 setelah berjaya menumpaskan pasukan Wilayah Persekutuan 2-0 hasil jaringan Muhidin Hussin dan Fadli Ahmad di hadapan hampir 40,000 orang penyokong di Stadium Merdeka pada 13 Julai 1985. Antara kesebelasan utama pasukan Johor pada ketika itu adalah Salleh Mohd Noor, Ismail Ibrahim, Azuan Zain, Kamaruddin Ahmad, Ahmad Merican, Khalid Shahdan, Dollah Salleh, Nasir Yusof, Fadzi Ahmad, Muhidin Hussin, dan Azmi Taib. Manakala Kamarudin Ahmad masuk menggantikan Azmi Taib pada separuh masa kedua.

“1985 adalah kejuaraan Piala Malaysia pertama buat pasukan Johor setelah kempunan hampir 64 tahun. Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata, perasaan ketika berjaya menjulang Piala Malaysia buat negeri Johor.” Khalid Shahdan, pemain terbaik perlawanan akhir Piala Malaysia 1985.

Manakala kejuaraan pada 1991 pasti lebih di ingati kerana kejayaan menumpaskan pasukan Selangor di Stadium Merdeka dengan jaringan 3-1 hasil hatrik oleh Ervin Boban. Antara barisan kesebelasan utama yang beraksi pada malam itu adalah Hassan Miskam, Sazali Nasir, Nasaruddin Atan, Roslan Hamid, Sani Othman, Aidel Mohd Noor, Khalid Shahdan, Nasir Yusof, Salehan Mohd Som, Allistair Edwards dan Ervin Boban. Manakala Fadli Ahmad dan Anuar Abu Bakar masuk pada menggantikan Khalid dan Salehan. Abbas Saad pula tidak dapat beraksi di dalam perlawanan akhir akibat di gantung perlawanan. Pastinya aksi di atas padang yang becak dan di penuhi air akan di kenang sampai bila-bila.

 

 

“The atmosphere was fantastic and fanatical as Johor was on its feet to win the Malaysia Cup. I would say that was unforgettable night. I’m so proud that I was part of that remarkable evening. After all we were all Johoreans! Hidup Johor!” Ervin Boban, penjaring hatrik piala Malaysia 1991.

Setelah hampir 26 tahun Johor gagal mengembalikan Piala Malaysia ke bumi Johor. Dan tiada siapa sangka pada tahun 2017 rezeki kembali memihak pada JDT yang mana JDT berjaya membawa kembali Piala Malaysia ke bumi Johor dengan mengalahkan pasukan Kedah dengan jaringan 2-0 hasil jaringan Aidil Zafuan pada minit ke 2 dan Gonzalo Cabrera pada minit 63 di hadapan 80,000 penyokong. Manakala ketika itu Shafiq Rahim ketua pasukan JDT di pilih sebagai pemain terbaik Piala Malaysia 2017. kesebelasan pemain JDT pada malam itu ialah Izaham Tarmizi, Aidil Zafuan, Safiq Rahim (C), Hazwan Bakri, Gabriel Guerra, Gonzalo Cabrera, S Kunanlan, Gary Steven Robbat, Fazly Mazlan, Fadhli Shas, Naxto Insa.

“Kesetiaan adalah apabila kita meneruskan legasi seseorang bukan hanya ketika mereka masih ada tapi juga meneruskan legasi itu ketika mereka sudah tiada lagi di dunia ini. Saya dedikasikan Piala Malaysia 2017 ini kepada Allahyarham Datuk Suleiman Mohd Noor, individu yang pernah membawa pasukan Johor memenangi Piala Malaysia 26 tahun lalu. Sejak saya mengambil alih era bola sepak Johor yang baru, saya berjanji kepada beliau yang saya akan mengembalikan semula kegemilangan bola sepak negeri Johor,” – DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

Lupakan sebentar kisah silam, lupakan seketika kejayaan Liga Super buat kali ke lima berturut-turut, lupakan dahulu misi Asia Champion League 2019 (ACL). kita pandang ke hadapan dahulu. Pandang yang ada di depan mata kita. Misi mengekalkan Piala Malaysia di Selatan tanah air. Kami Bangsa Johor begitu dahagakan kejayaan-kejayaan yang mendatang tidak kira piala apa sekalipun. Moga semangat wira-wira 1985, 1991 dan 2017 tersemat di jiwa wira-wira kita ketika ini. Tidak mustahil suatu hari nanti barisan pemain JDT akan di kenang sebagai lagenda yang berjaya membawa pulang Piala Malaysia 2018 ke tanah selatan. Seperti mana lagenda-lagenda yang sebelum ini. Ianya tidak mustahil!

-Kalau Sudah Mencabar Dan Membangkitkan Harimau Sedang Tidur Usah Persoal Kenapa Harimau Ini Akan Mengaum-

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply