REVIU SUKU AKHIR PERTAMA JDT LAWAN PAHANG

Foto: www.asiana.my

Reviu Suku Akhir Pertama Piala FA JDT lawan Pahang

JDT sekali lagi diundi bertemu Pahang di suku akhir Piala FA. Tahun lepas JDT tersingkir dari saingan setelah ditewaskan Pahang dengan aggregat 4-3.

Perlawanan ini sememangnya ditunggu oleh semua peminat bola sepak tempatan kerana intensitinya yang tinggi. Pertemuan Pahang JDT ini digelar “el classico” moden bolasepak Malaysia.

Semenjak JDT dijenamakan semula pada 2013, JDT akan bertemu Pahang di setiap pertemuan Piala FA kecuali tahun 2016 di mana JDT muncul juara. Pemenang perlawanan ini berjaya ke perlawanan akhir sebanyak 5 kali.

 

Pertemuan suku akhir pertama ini adalah pertemuan pertama kedua dua pasukan tahun ini. Ia sepatutnya menjadi pertemuan kedua jika liga tidak ditangguhkan untuk memberi laluan kepada pasukan kebangsaan.

Pasukan Pahang akan turun dengan semangat yang waja kerana mereka kini berada di kemuncak prestasi. Setelah permulaan yang perlahan dalam liga, kini Pahang dilihat sebagai pasukan yang “unstoppable”

Namun perancangan Dollah Salleh sedikit terencat akibat kehilangan penyerang utama mereka, Francis Forkey Doe. Doe adalah watak utama kebangkitan pasukan Pahang apabila gandingan beliau dan Patrick Cruz menjadi igauan pasukan lawan.

Momentum pasukan Pahang ketika menentang Kedah dilihat menurun sebaik sahaja Doe dikeluarkan. Norshahrul dilihat gagal mengisi kekosongan yang ditinggalkan Doe.

Pahang musim ini membentuk satu pasukan yang mantap. Mereka beraksi tanpa pemain import di barisan pertahanan mereka. Safuwan Baharudin dan Nor Azam Azih menunjukkan kualiti mereka di bahagian tengah.

Penyokong JDT pasti ingat bagaimana Mahamadou Sumareh meranapkan impian JDT mempertahankan Piala FA musim lepas. Pemain ini perlu diberi perhatian serius oleh barisan tengah serta pertahanan.

 

JDT pula akan turun sebagai pasukan pilihan. Raul Longhi dilihat bersedia dan berpuas hati dengan persediaan pasukan. Pemain juga dilihat menepati tahap kecergasan yang telah ditetapkan jurulatih kecergasan.

Pertemuan ini juga adalah pertemuan ujian untuk pemain tempatan. Tanpa kelibat pemain import, inilah masanya pemain tempatan menyerlahkan kebolehan masing-masing.

Di atas kertas, JDT dilihat lebih stabil namun bermain di Darul Makmur bukanlah tugas yang mudah untuk mereka. Penyokong pasukan Pahang pasti akan memenuhi segenap pelusuk stadium untuk menaikkan semangat pasukan.

Jika pemain berjaya mengikuti arahan jurulatih dan menyerap tekanan Pahang, JDT pasti akan menghadirkan mimpi buruk kepada Pahang.

JDT harus mengelakkan gol dari dibolosi dan perlu mencari kelebihan gol di tempat lawan. Ini sangat membantu pada aksi timbal balik di Larkin 20 April nanti.

Selamat maju jaya diucapkan kepada kedua pasukan. Semoga corak permainan menarik dan menghiburkan dapat ditunjukkan sekaligus menerujakan penyokong di stadium mahupun di rumah.

Barisan Kemungkinan

JDT
Farizal Marlias, Marcos Antonio, Fadhli Shas, Corbin Ong, Azrif Nasrulhaq, Hariss Harun, Natxo Insa, Gonzalo Cabrera, Afiq Fazail, Safawi Rasid, Hazwan Bakri

Pahang
Helmi Eliza, Muslim Ahmad, Afif Amirudin, Matthew Davies, Faisal Rosli, Nor Azam Azih, Safuwan Baharudin, Wan Zaharulnizam, Mahamadou Sumareh, Patrick Cruz, Norshahrul Idlan Talaha

Share this...
Share on Facebook
Facebook
Tweet about this on Twitter
Twitter
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  • 828
    Shares

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*