RAMADAN UJIAN SEBENAR BUAT JOHOR DARUL TA’ZIM

Bulan mulia Ramadan kembali menjengah kita selepas setahun. Marilah kita pertingkatkan amal ibadat di bulan seribu rahmat ini. Tetapi jangan pula lupa tugas kita sebagai penyokong setia skuad Harimau Selatan.

Akibat perubahan jadual demi memberi ruang kepada persiapan skuad kebangsaan, JDT bakal menghadapai lima perlawanan di bulan Ramadan kali ini. Apa yang lebih perit empat darinya adalah perlawanan di tempat lawan.

Hanya perlawanan bertemu pencabar liga, Terengganu FC yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim manakala selebihnya JDT akan bertandang ke gelanggang lawan iaitu Pahang, Kuala Lumpur, Kedah dan Pulau Pinang

Amat pelik jika dilihat pada jadual apabila JDT seakan-akan hilang kelebihan beraksi di laman sendiri tetapi ini semua adalah perkara diluar kawalan kita sebaliknya aksi konsisten di dalam padang pastinya dituntut oleh kita para penyokong.

Harimau Selatan juga berharap agar penyokong dapat memenuhi kuota yang ditetapkan ketika menentang Terengganu FC kerana inilah satu-satunya perlawanan di tempat sendiri sebelum berehat lebih dari dua bulan.

Perlawanan bakal dilangsungkan pada jam 10 malam maka sempatlah kita semua menunaikan ibadah solat terawih dahulu sebelum kita moreh beramai-ramai di stadium. Pemain pastinya akan lebih bersemangat dengan kehadiran kita para penyokong.

Sejak kehadiran semula penyokong dalam dua perlawanan lepas menyaksikan JDT cemerlang menjaringkan 6 gol tanpa bolos menerusi kemenangan ke atas Melaka United dan PJ City.


Para pemain sudah semestinya tidak akan menggunakan bulan Ramadan sebagai alasan untuk tidak beraksi cemerlang sebaliknya mereka pastinya mahukan mata maksimum untuk selesa menerajui liga sebelum berehat panjang.

Oleh itu persiapan rapi semestinya sudah disiapkan oleh barisan kejurulatihan yang pastinya lebih arif tentang corak latihan ketika Ramadan tetapi pada masa yang sama masih mengekalkan kecergasan para pemain.

Lima perlawanan ini adalah ‘turning point’ kepada kempen Liga Super JDT tahun ini. Jika lima perlawanan ini berakhir dengan keputusan positif, gelaran kelapan pastinya akan lebih dekat dari apa yang kita impikan.

Ayuh semua penyokong kekalkan kesetiaan kepada pasukan kesayangan kita. Turun ke stadium atau setia di hadapan televisyen ataupun telefon pintar anda. Sama-sama kita berikan sorakan yang tidak pernah padam kerana kita adalah Johor Darul Ta’zim.

Selamat menunaikan ibadah puasa kepada semua pembaca. Sila patuhi SOP dan amalkan penjarakan sosial ketika menjamu mata di bazaar Ramadan. Semoga Ramadan kali ini lebih bermakna buat kita semua. Amin. Luaskan Kuasamu Johor.

Share this...
Share on Facebook
Facebook
Tweet about this on Twitter
Twitter
  •  
  •  
  •  
  •  

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*