PROJEK BOLA SEPAK JDT BERJAYA YAKINKAN PEMAIN ANTARABANGSA TERNAMA KE JDT

Apabila bercakap tentang perpindahan pemain antarabangsa, ianya bukanlah perkara baharu dalam kancah bola sepak tempatan tetapi bagaimana pencari bakat JDT mampu meyakinkan pemain antarabangsa ternama datang ke Iskandar Puteri yang seharusnya diberikan perhatian.

Melihat kepada video pengenalan pemain antarabangsa baharu JDT, Fernando Forestieri menyatakan tentang projek bola sepak JDT yang menarik minat beliau untuk menyertai skuad Harimau Selatan.

Sudah pasti faktor ini didorong oleh kekuatan jenama JDT yang kini semakin dikenali fraterniti bola sepak bukan sahaja di Asia malah hingga ke peringkat dunia. Bukan bersembang kosong, tetapi inilah hakikat yang perlu diterima dan diiktiraf.

Perlawanan amal JDT All Stars yang diadakan pada 2019 bukanlah semata-mata hendak bermain bola sepak tetapi ianya cara bagaimana pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor menjual produk kebanggaan Baginda ini.

Kehadiran bekas pemain-pemain bintang dunia ini digunakan sebagai platform pemasaran kelab dengan TMJ sendiri menceritakan tentang projek bola sepak JDT kepada mereka ketika jemputan makan tengah hari.

Malah ada antara para bintang dunia ini yang berminat hendak melabur dalam saham kelab kerana mereka percaya dengan pelan jangka panjang JDT selain boleh membuat ‘networking’ untuk memasuki pasaran Asia Tenggara dan juga Asia.

Kehadiran beberapa bintang bola sepak Brazil berjaya membuka mata ejen-ejen pemain di sana tentang JDT dan hasilnya Harimau Selatan berjaya membawa pemain Serie A Brazil, Bergson Da Silva je Iskandar Puteri dari Fortaleza dan semua tahu apa yang terjadi selepas itu.

Bergson mengganas dan menjadi penjaring terbanyak sekaligus menggondol Anugerah Kasut Emas dan kini bakal berganding dengan Fernando Forestieri yang pastinya akan memantapkan lagi bahagian serangan JDT.

Projek Bola Sepak JDT seperti kemudahan dan fasiliti bertaraf antarabangsa dengan Stadium Sultan Ibrahim yang canggih ditambah pula dengan projek pusat latihan bersepadu mega yang giat dibangunkan mudah menarik minat Forestieri untuk ke JDT.

Sebagai pemain yang sudah biasa dengan bola sepak Eropah terutama di England dan Itali, perkara ini adalah asas dalam bola sepak dan JDT berjaya menyediakan keadaan latihan yang kondusif. Tidak hairan mengapa beliau tinggalkan Udinese dan berkelana ke Johor.

Kekuatan jenama dan projek bola sepak yang terancang adalah elemen penting dalam bola sepak moden. Bukan sahaja kelab mampu meyakinkan penaja tetapi juga mudah buat pencari bakat untuk menarik minat pemain antarabangsa untuk menyarung jersi keramat Merah Biru. Luaskan Kuasamu Johor.

Share this...
Share on Facebook
Facebook
Tweet about this on Twitter
Twitter
  •  
  •  
  •  
  •  

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*