PERBEZAAN PEMIKIRAN PROGRESIF PEMILIK JDT BERBANDING PENGURUSAN PASUKAN LAIN

Siapa kita hendak menyangkal sikap progressif yang ada pada pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor yang sentiasa bergerak untuk memajukan kelab kesayangan kita ini. Mentaliti.

Baru selesai perlawanan kesembilan liga, TMJ sudah memikirkan persiapan pasukan untuk tahun-tahun mendatang sedangkan pasukan lain sedang sibuk mencari kemenangan pertama dan mencari jalan menyekat JDT. Mentaliti.

Satu Malaysia tahu padang di Stadium Sultan Ibrahim dan Pusat Latihan JDT Padang Seri Gelam berada dalam keadaan terbaik tetapi tidak bagi TMJ kerana padanya, masih ada ruang untuk penambahbaikan dan segera menitahkan pembangunan rumput yang lebih baik untuk semua padang milik JDT. Mentaliti.

Berbeza dengan sikap pengurusan kelab lain yang masih berpuas hati dengan keadaan rumput lembu masing-masing dan tetap tidak mahu menerima geran bernilai sejuta yang ditawarkan secara percuma oleh Kementerian Belia Dan Sukan untuk menukar padang kepada jenis Zeon Zoysia. Mentaliti.

Tunku mengeluh sukar untuknya menyelenggara stadium yang menelan kos yang besar tetapi Tunku tidak menangis atas meratib mengemis sebaliknya berbincang dengan Nike untuk nilai tajaan yang lebih besar sekaligus meningkatkan lagi nilai komersil kelab. Cari jalan bukan alasan. Mentaliti.

Berbeza dengan pengurusan pasukan lain yang berangan-angan mahukan stadium sendiri sedangkan tidak mahu dan tidak mampu menyelenggara padang yang kosnya lebih rendah. Mentaliti.

Tunku juga sudah mempunyai perancangan untuk membuat sambutan bunga api di seluruh negeri Johor sekiranya JDT muncul juara Liga Super sekali lagi menjadikan konsep 10 tahun dominan sebagai sesuatu yang tidak boleh dilupakan sejarah. Mentaliti.

Berbeza dengan pengurusan pasukan lain yang berbangga hanya tewas 1-0 kepada Harimau Selatan dan selepas itu tewas besar kepada pasukan lain kerana misi dan visi kelab masing-masing hanyalah untuk mengalahkan JDT. Mentaliti.

Kita patut berbangga mempunyai ketua yang mempunyai mentaliti sebegini dan kita sebagai penyokong juga perlu mempunyai mentaliti yang sama dengan sentiasa teruskan sokongan dengan hadir ke stadium pada setiap perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim.

Kerinduan terhadap atmosfera Stadium Sultan Ibrahim bakal terubat minggu hadapan apabila JDT bertemu Kelantan United. Cuti sudah habis, raya sudah hampir ke penghujung jadi mari ramai-ramai kita ke stadium untuk berikan sokongan. Mentaliti ini perlu dibina dalam setiap diri penyokong JDT. Fikir-fikirkanlah.

Luaskan Kuasamu Johor