SIMBOLIK JDT FAMILY PADA VIDEO PELANCARAN JERSI NIKE JDT 2024-25

Pertama sekali, syabas perlu diucapkan kepada pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor atas kejayaan Harimau Selatan melancarkan jersi baharu Nike JDT untuk musim 2024-25.

Kedua, ucapan tahniah juga perlu diberikan kepada para penyokong JDT yang sentiasa berada di belakang pasukan dengan hadir ke majlis pelancaran jersi itu meskipun sedar ketiadaan pemain mahupun Pemangku Sultan Johor itu sendiri.

Ini menunjukkan sikap matang para penyokong Johor yang sudah menjadikan acara pelancaran jersi ini sebagai acara tahunan wajib yang perlu dihadiri selain menjadi yang pertama untuk mendapatkan jersi yang cukup cantik dan berprestij itu.

Ketiga, ucapan tahniah dan syabas perlu ditujukan kepada semua krew penghasilan video pelancaran yang jelas menyentak emosi para penyokong dengan paparan mesra rakyat dan simbolik melambangkan kesatuan JDT Family.

Bermula dengan pertanyaan berapakah agaknya JDT akan menang pada perlawanan pembukaan musim, ianya dijawab sinis oleh seorang penyokong kasual yang hanya mengharapkan keputusan seri yang mengundang tanda tanya banyak pihak.

Ini boleh digambarkan sebagai penyokong biasa yang hadir ke stadium hanya untuk mendapatkan suasana kemeriahan tanpa mengenali kekuatan sebenar pasukan dan langsung tidak endah untuk memakai jersi pasukan.

Anggapannya disangkal seorang chef yang menjangkakan kemenangan berpihak buat JDT 2-0 kerana dia tahu akan kebolehan Fernando Forestieri dan Bergson Da Silva untuk mencipta jaringan meskipun dia hanya mampu menonton menerusi telefon bimbit kerana bekerja.

Keputusan 2-0 itu pula dilihat tidak masuk akal oleh pemandu teksi yang sedang menunggu penumpang. ‘Uncle’ itu mengatakan JDT akan menang 4-0 kerana dia tahu Harimau Selatan diperkuatkan empat pemain baharu seperti Jalil Elias, Chico Geraldes, Romel Morales dan Murilo Henrique.

 

Gelagat pemandu-pemandu teksi ini yang menyaksikan perlawanan di dalam satu teksi kerana hujan lebat menggambarkan semangat kekitaan dan JDT itu milik semua dengan perlawanan boleh ditonton dalam pelbagai jenis platform.

Sorotan kamera beralih kepada kanak-kanak yang sedang bermain permainan video Pro Evolution Soccer yang menampilkan JDT dan dia dengan yakin menyatakan Arif Aiman seorang sudah boleh memberikan kemenangan 6-0 buat Harimau Selatan.

Majoriti kanak-kanak yang mengikuti bola sepak tempatan menjadikan Arif Aiman sebagai idola dan dia mengatasi kesemua populariti pemain import kerana semua penyokong percaya akan kemampuannya meledak dan mencipta gol. Inilah simboliknya adegan itu.

Akhirnya, mesin gol JDT, Bergson Da Silva muncul menyatakan dia mampu menjaringkan 100 gol sekaligus bangun memperkenalkan jersi home terbaharu keluaran Nike yang jelas menggambarkan legasi dominasi dominan JDT dalam bola sepak Malaysia.

Kelebihan mempunyai stadium sendiri juga memudahkan krew penerbitan JDT memggambarkan suasana perlawanan di dalam stadium sepenuhnya yang akhirnya diakhiri dengan gol oleh Arif Aiman yang disambut gembira oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan status.

Itulah simboliknya video pengenalan jersi baharu JDT untuk musim 2024-25. Montaj awal dan akhir pula menunjukkan trofi Liga Super sedang digilap namun persoalannya, adakah itu trofi lama atau trofi ke-11 bakal menjadi milik JDT.

Ayuh semua penyokong, satukan hatimu, tinggikan sorakanmu, demi Johor dan buktikan pada semua ini Johor Darul Ta’zim. Luaskan Kuasamu Johor.