MISI 1BILLION BUKTI JDT KEKAL PENERAJU BOLA SEPAK MALAYSIA

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi membuat langkah kehadapan apabila mengumumkan misi 1Billion yang akan menyaksikan JDT menjadi satu-satunya kelab yang mempunyai nilai tertinggi.

Pengumuman yang dilakukan sendiri pemilik kelab, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Raja itu dilihat sebagai salah satu cara untuk JDT kekal menjadi sebuah empayar untuk masa yang panjang.

RM 1Billion bukanlah angka yang kecil. Jumlah ini bakal disahkan oleh empat badan perakaunan terkemuka dunia berdasarkan aset-aset yang ada pada JDT kini dan yang akan dimajukan dalam tempoh terdekat. Ianya juga termasuk nilai komersil dan nilai ‘branding’ JDT itu sendiri.

Jika melihat senario bola sepak tanah air masa kini, majoriti pasukan bola sepak masih menanti wang dari kerajaan negeri malah ada yang ‘rolling’ duit dahulu sambil mengharapkan wang geran MFL yang akhirnya gagal diberikan.

Ini menyebabkan ada persatuan yang gagal membuat bayaran gaji dan mungkin terdedah kepada kemungkinan gagal menandatangani pemain luar negara baharu berdasarkan ketetapan ECP yang diperkenalkan.

Berbeza dengan JDT. Sejak dari penubuhan kelab, JDT tidak pernah mengharapkan wang kerajaan negeri mahupun wang geran dari pentadbir liga. JDT menjadikan bola sepak sebagai perniagaan dan wang dijana menerusi penajaan korporat dan kerjasama dengan pakar-pakar bola sepak dunia.

Hasilnya kini nilai JDT dianggarkan sudah melebihi RM600 juta dan dalam tempoh setahun hingga dua tahun akan datang, nilai ini dianggarkan berjumlah RM 1Billion menerusi pelbagai projek dan penambahbaikan kepada pasukan yang bakal dilancarkan pada 2020.

Pembinaan Stadium Mini, Pusat Perubatan, Pusat Latihan Berkelompok dan Padang Latihan Tertutup adalah antara projek yang bakal dibangunkan bersebelah Stadium Sultan Ibrahim yang serba canggih.

Ini semua adalah tambahan kepada aset sedia ada JDT seperti Pusat Latihan JDT Padang Seri Gelam dan Padang Mawar, Stadium Larkin, Stadium Tunku Tun Aminah, JDT HQ dan tanah bersebelahan Johor Premium Outlet yang akan dibangunkan sebagai pusat akademi JDT.

Percayalah tidak akan ada pasukan bola sepak lain di Malaysia yang mampu menggugat JDT sehingga 10 tahun lagi. Ini kerana JDT sentiasa bergerak ke hadapan manakala ada pesaing yang baru sahaja bermula malah ada yang masih tidur dan selesa di tampuk lama.

Dengan pelan jangka masa panjang yang jelas, yakinlah bahawa banyak pelabur yang terdiri dari bekas pemain legenda dunia akan melabur di dalam saham JDT. Perkara yang jelas dan perkara yang baik seperti ini pasti akan mendatangkan keuntungan kepada pelabur.

Buat pesaing JDT, bangkitlah dan berubahlah. Lambat laun anda akan ditekan oleh penyokong anda sendiri yang mahukan perubahan. Jalan dan panduan sudah ada. Tepuk dada tanya selera. Fikir-fikirkanlah. Tahniah JDT.

Luaskan Kuasamu Johor.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply