MENGAPA JDT BANGUNKAN AKADEMI DAN BUKANNYA MEMBELI PEMAIN AKADEMI

 

Akademi bola sepak adalah satu elemen penting dalam falsafah bola sepak moden. Pemain muda berbakat dari seluruh pelusuk negeri boleh dikumpulkan dan dibentuk mengikut modul standard yang ditetapkan.

Kepentingan akademi bola sepak kepada sesebuah kelab dilihat sebagai penyambung legasi dan sejarah kelab dalam memacu kegemilangan. Tidak keterlaluan juga jika dikatakan bahawa akademi bola sepak adalah penyumbang kepada kestabilan kewangan kelab.

Mengambil contoh kelab di Liga Perdana Inggeris, West Ham United yang mempunyai akademi bola sepak yang bagus hingga mampu membekalkan pemain terbaik buat England sekaligus menaikkan ekonomi kelab menerusi penjualan pemain remaja.

Itulah yang dilakukan di Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT). Di JDT sebuah akademi bola sepak yang serba lengkap telah disediakan bagi mengumpul bakat-bakat muda yang bakal menyarung jersi Harimau Selatan. Ini adalah sebahagian dari projek JDT di bawah naungan dan pandangan jauh ke depan DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

Akademi JDT adalah sebuah akademi yang dilengkapi penginapan, pendidikan dan juga fasiliti berkaitan bola sepak yang bertaraf antarabangsa bermula dari skuad B-12 hingga ke B-21. Pelatih bukan sahaja perlu mahir dalam bola sepak tetapi juga dalam bidang pelajaran masing-masing.

Selain itu, pelatih juga turut ditekankan disiplin dan corak latihan serta taktikal yang sama seperti mana yang dilakukan pada pasukan utama JDT. Mereka juga turut berpeluang berlatih bersama-sama sekaligus menaikkan semangat mereka untuk beraksi lebih cemerlang.

Setelah lapan tahun, kini pasukan Akademi JDT sudah mula menuai hasil apabila memenangi pelbagai kejohanan domestik dan antarabangsa. Arif Aiman pelatih dari skuad akademi kini sudah melakukan penampilan sulung yang memukau bersama pasukan utama JDT di Liga Super dan disenaraikan dalam senarai 18 pemain di Liga Juara-Juara AFC.

JDT juga akan menerima bayaran lumayan apabila bakal membekalkan pelatih-pelatih ini kepada mana-mana pasukan yang mahukan khidmat mereka. Perkara ini menjadi norma di Arsenal ketika bersama bekas pengurusnya, Arsene Wenger yang bijak menaikkan nilai pemain muda seperti Cesc Fabregas.

Pembangunan pemain muda ini memerlukan masa yang panjang dan atas sebab inilah JDT merancang Akademi JDT supaya menjadi kilang bakat bola sepak bukan hanya buat JDT malah kepada negara.

JDT tidak mahu membeli bekas pemain akademi dan mengumpulkan mereka di dalam satu pasukan seperti yang dilakukan oleh sebuah pasukan yang berpengkalan di Lembah Klang. Kini ekoran penularan pandemik Covid-19, para pemain remaja ini hilang sumber pendapatan dan banyak pemain memilih untuk menjadi ‘Grab Rider’.

Bukan hendak menidakkan kelebihan menjadi ‘Grab Rider’ tetapi untuk seorang ‘Wonderkid’ yang sudah dipukul canang berita pemergiannya ke Eropah, ianya mencemarkan imej pasukan yang menandatangani anda kerana dilihat culas dalam menjaga kebajikan pemain.

 

Kini terbukti asas sesebuah akademi itu adalah bakat dan pelajaran. Kesemuanya harus seiring dalam membentuk pemain yang bijak di dalam dan luar padang. Selain itu akademi juga boleh bertindak sebagai salah satu sumber pendapatan kelab.

Jika kebajikan anda sudah dijaga sedari umur 12 tahun, adakah anda meninggalkan Akademi JDT?. Bak kata pepatah ‘Sudah Gaharu Cendana Pula, Sudah Tahu Bertanya Pula’.

Fikir-fikirkan lah.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply