MASA DEPAN JDT DAN MALAYSIA TERCIPTA DI TEMASEK

“The future isn’t something we enter, The future is something we create..”

Masa Depan JDT dan Malaysia tercipta di Temasek.

Berpeluang untuk menonton perlawanan Piala AFC di tempat lawan adalah pencapaian membanggakan bagi saya. Saya memilih ke Singapura kerana mudah dikunjungi menggunakan pengangkutan awam.

Pertembungan JDT dan Tampines Rovers di Stadium Jalan Besar berakhir dengan keputusan seri 0-0. Ramai yang kecewa dengan persembahan JDT kerana Tampines boleh dianggap pasukan terlemah dalam kumpulan.

Foto: JOHOR Southern Tigers

 

Namun bagi saya ada sinar yang boleh disimpulkan dari perlawanan tersebut. Kita boleh melihat barisan muda JDT berjuang dengan baik dan ianya juga adalah barisan muda negara.

Ianya ibarat pertembungan skuad senior Singapura menentang pasukan bawah 23 negara. Pasukan muda JDT dilihat menguasai keseluruhan permainan namun ketandusan gol menyebabkan kita pulang dengan satu mata berharga.

Ramai “haters” yang menyatakan JDT menyimpan pemain muda ini sehingga berkarat namun malam ini kita dapat lihat bahawa jurulatih berani mempertaruh keseluruhan kesebelasan JDT dengan pemain muda tempatan. Malah barisan simpanan juga dibarisi pemain tempatan.

Foto: www.asiana.my

Saya yakin tidak ada pasukan yang berani untuk berbuat sedemikian malah ada pasukan yang langsung tidak berani menghantar pasukan ekoran tiada pemain import dan kononnya ingin menumpukan piala domestik.

Sebagai juara edisi 2015, sudah pasti pasukan JDT akan menjadi pasukan pilihan. Permainan malam ini harus dipuji kerana semua pemain muda tempatan menunjukkan kebolehan masing-masing di atas padang.

Cuma beberapa keputusan yang kurang bijak dari satu dua pemain membuatkan mata penuh gagal dicapai. Namun perkara inilah yang akan mematangkan pemain tersebut dari masa ke masa.

Jika ditanya kepada Syafiq Ahmad adakah beliau akan merasa nikmat bermain di peringkat Asia jika kekal di pasukan lama beliau, jawapannya pasti tidak kerana pasukan itu pasti akan menurunkan pemain import mereka untuk mencipta kemenangan.

Di pentas Asia inilah peluang untuk pemain muda negara mengeksport diri mereka ke liga luar. Pencari bakat dari pelbagai pasukan akan datang melihat persembahan mereka.

Adam Nor Azlin membuktikan bahawa beliau antara pertahanan tengah terbaik di Asean ini. Beliau tenang mengawal benteng dan bentesan akhir beliau berjaya menghalang pasukan lawan dari menjaringkan gol.

Tunku Ismail juga berada di stadium. Saya berharap semoga Baginda dapat melihat sendiri bahawa sukarnya JDT di bahagian serangan. Bahagian “final third” dilihat mati dengan Hazwan Bakri dan Darren Lok sukar mendapatkan bola untuk disudahkan ke dalam jaring.

Foto: Ezreen Abd Talip – www.asiana.my

Pesanan saya kepada penyokong, jangan cepat kecewa dengan keputusan ini. Satu mata ditempat lawan sememangnya berharga. Sekali lagi saya bangga dengan kemunculan pasukan 100% anak tempatan di Temasek. Inilah masa depan pasukan JDT amnya dan pasukan Malaysia khususnya. Semoga beroleh kemenangan dalam perlawanan akan datang.

Luaskan Kuasamu Johor

Saiful, Johor Bahru

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply