MARILAH DATANG LARKIN

MARILAH DATANG LARKIN

Sabtu ini perlawanan suku akhir ke 2 Piala Malaysia JDT bertemu Pahang di Larkin. Perlawanan panas untuk kedua-dua pasukan walaupun jika diikutkan JDT dan Pahang sudah tidak ada apa lagi yang perlu buktikan kepada penyokong kerana tahun ini kedua-duanya sudah bergelar juara.  JDT, juara Liga Super 2018 bertemu Pahang, Juara Piala FA 2018.

 

 

Tetapi apabila kita sebut JDT dan Pahang kita tidak dapat lari ini adalah perlawanan epik dua pasukan gergasi bolasepak Malaysia. Masing-masing membawa bersama maruah dan harapan penyokong setia. JDT sudah pasti tidak mahu imej Larkin tercalar lagi. Sudah pasti JDT mahu menghabiskan musim ini dengan gemilang selepas musim ini bermacam-macam hal yang terpaksa kita hadapi. Mungkin penutup sambutan bunga api sekali lagi nanti bakal memberikan kepuasan dan merapatkan kembali semangat penyokong-penyokong setia. Kita boleh berehat dan kembali lebih hebat musim depan.

Seramai 15,454 orang penyokong telah hadir menyaksikan perlawanan di Darul Makmur tempohari. Mungkin Sabtu ini Larkin bakal pecah panggung lagi.  Kepada penyokong-penyokong setia JDT ayuh kita berikan sokong terbaik kepada Harimau Selatan. Jangan pertikaikan lagi semangat dan maruah pemain-pemain kita. Dah sampai tahap berdarah, retak muka, berjahit kepala pemain-pemain ini berjuang demi lencana di dada. Menang seri atau tewas pemain dah buktikan mempunyai semangat berjuang yang kuat.

 

 

Kepada penyokong-penyokong Pahang, jom datang ke Larkin. Jangan risau kami tak ganas. Anda datang cara baik kami layan anda dengan baik. Marilah Datang Larkin. Liga Malaysia yang suram sekarang ini memerlukan penyokong-penyokong hebat turut ‘meriah’ menyokong di Stadium. Sebelum terlupa terima kasih kepada anggota-anggota keselamatan di Darul Makmur yang memberikan khidmat terbaik kepada penyokong-penyokong JDT tempohari. Larkin juga memiliki barisan marshall dan pegawai-pegawai keselamatan yang terlatih.

Kita sebagai penyokong bolasepak mesti jadikan iktibar insiden sedih kematian seorang penyokong Persija Jakarta yang dibelasah penyokong Persib Bandung baru-baru ini. Budaya ini perlu kita tolak jauh dari Liga kita.  Salam takziah kepada mangsa.

“Jadilah supporter militan, loyal, namun juga menggunakan akal yang sihat. Kerana tidak ada satu kemenangan yang sebanding dengan nyawa..” – Bambang Pamungkas, pemain bolasepak Persija Jakarta

Share this...
Share on Facebook
Facebook
Tweet about this on Twitter
Twitter
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  • 1.3K
    Shares

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*