KHAS BUAT PASUKAN JDT — Jaga Diri Tau!

Ini adalah luahan perasaan rindu dari penyokong buat para pemain Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT). Sebagai pemegang pas bermusim, pastinya rasa terkilan tidak dapat dibendung apabila pandemik Covid-19 menghalang kedatangan penyokong ke stadium.

Melihat pada hantaran dan ciapan di media sosial milik kelab, Stadium Sultan Ibrahim dilihat sangat megah buat pemain JDT dan menimbulkan perasaan gerun kepada pasukan pelawat. Tetapi sayang rasa gerun itu tidak mampu ditambah oleh fanatisme pemain ke-12.

Perasaan sedih dan kecewa semakin membara apabila melihat sebuah rancangan hiburan membenarkan kira-kira 200 penonton masuk ke dewan atas alasan memeriahkan suasana untuk mendengar ‘bebelan’ dari juri yang kononnya masih relevan dalam industri.

Sakit lagi hati ini melihat perhimpunan politik dibenarkan dan segala macam aktiviti riadah dipenuhi manusia. Mengapa bola sepak masih tidak dibenarkan? Adakah penyokong bola dikira sebagai ‘second class citizen’ dan berkemungkinan pembawa virus hingga tercetusnya kluster baharu.

Jika dilihat semua kluster yang terbentuk adalah kerana kita membenarkan pintu masuk antarabangsa dibuka sekaligus membawa masuk virus ke dalam negara yang mana rakyatnya taat duduk di rumah selama tiga bulan.

Sedih jika difikirkan tetapi apakan daya siapalah kita yang hendak berjuang mendapatkan hak sebagai penyokong bola sepak. Diharap arahan ini kekal sampai penghujung musim dan bukannya diberi kelonggaran ketika final kerana hanya mahu memberi laluan kepada bangsa final terutama para VIP.

Buat JDT, tahniah kerana membawa pulang tiga mata dari Kuantan. Persembahan bertenaga pada 30 minit pertama sudah cukup untuk membunuh semangat juang lawan. Ibarat harimau kelaparan menerkam mangsa tanpa belas kasihan.

Sekarang sang seladang sedang menunggu. Adakah akan menjadi santapan Harimau Selatan atau mampu memberikan saingan. Pertarungan epik ini sepatutnya bersaksikan oleh penyokong tetapi hanya doa mampu dititip dari ratapan hati ini.

Ayuh Johor, Ayuh Johor, Luaskan Kuasamu Johor, Kami Ada, Kami Ada, Setia Bersamu Johor. Laungan keramat ini kita semai dalam hati dan sekali lagi buat pasukan JDT —

Jaga Diri Tau. We miss you.

Foto: JST & Ezreen Talip

 

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply