JDT UTAMAKAN PENYOKONG SETIA DAN PENYUMBANG KEPADA KELAB

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan penjualan tiket final TM Piala Malaysia 2021 menentang Kuala Lumpur City FC pada 30 November ini dikhususkan buat pemegang pas bermusim dahulu.

Ini adalah langkah yang sangat baik dari pihak kelab kerana pemegang pas bermusim ini adalah mereka yang hadir ke stadium pada setiap perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim.

Ianya boleh dianggap sebagai kelebihan buat penyokong setia yang membelanjakan wang pada awal musim demi menyokong pasukan dan juga membantu kelangsungan kelab dari segi kewangan.

Selain itu, para penyokong juga akan lebih teruja dan dengan adanya ‘priority’ kepada pemegang pas bermusim, ianya akan meningkat lagi kadar jualan pas bermusim untuk musim akan datang sekaligus memberikan tambahan kewangan kepada kelab.

Jika majoriti penyokong mempunyai pas bermusim, isu kesesakan di stadium, terpaksa masuk awal untuk berebut tempat duduk hanya akan menjadi sejarah kerana penyokong sudah tahu tempat duduk mereka terjamin tanpa mengira perlawanan hangat ataupun perlawanan biasa.

Selain dari memberikan kelebihan kepada pemegang pas bermusim, JDT menerusi Yayasan JDT juga turut mengumumkan bahawa Penyumbang Yayasan JDT juga diberikan kelebihan untuk mendapatkan tiket ke final.

100 penyumbang terawal yang mendaftar hanya perlu mengeluarkan belanja sebanyak RM250 untuk mendapatkan tiket beserta pengangkutan pergi dan balik ke Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ianya pasti akan memberikan susasan tontonan dan sokongan yang berbeza dengan tiket dan pengangkutan yang terjamin sekaligus boleh mengurangkan kesesakan di kala SOP yang ketat dikenakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pihak pengendali tiket juga perlu diberi pujian kerana bersetuju bekerjasama dengan kelab untuk memastikan kelebihan yang dijanjikan oleh pihak kelab kepada penyokong dapat ditunaikan dengan situasi menang-menang.

Tinjauan Harimau Selatan mengenai cara pembelian tiket atas talian oleh pemegang pas bermusim juga mendapati sistem yang digunakan sangat efisien kerana ianya mengenalpasti nombor kad pengenalan yang didaftarkan pada pas bermusim.

Jadi tidak akan ada isu terlebih jualan kerana setiap pemilik pas bermusim dihadkan pembelian tiket mengikut kuota yang disediakan. Selain itu, isu ulat tiket juga berjaya dibendung sekaligus melindungi pembeli dari ditipu.

Share this...
Share on Facebook
Facebook
Tweet about this on Twitter
Twitter
  •  
  •  
  •  
  •  

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*