JANGAN BERSEDIH HARIMAU SELATAN

Tiada apa yang perlu ditangisi selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) tewas kepada Kuala Lumpur City FC di perlawanan akhir TM Piala Malaysia 2021 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Pastinya kekalahan ini mengundang rasa janggal di lubuk hati para penyokong kerana JDT dan kekalahan adalah sesuatu yang luar biasa kerana ianya jarang terjadi.

Namun, kita harus menerima hakikat bahawa kita tewas kepada pasukan yang mempunyai taktikal bertahan yang cukup baik ditambah dengan ketangkasan penjaga golnya.

Para pemain JDT sudah memberikan segala-galanya yang mereka mampu dalam musim yang panjang ini. Selepas terkesan dengan pandemik Covid-19 yang melanda, para pemain dilihat cukup bersedia namun tuah tidak menyebelahi kita.

JDT menempuh sejumlah 39 perlawanan musim ini dalam tiga pertandingan iaitu 22 perlawanan Liga Super, 11 perlawanan Piala Malaysia dan enam lagi dalam Liga Juara-Juara AFC..

Dua piala dibawa pulang dan berjaya layak ke final Piala Malaysia edisi ke-100 serta meneruskan rentak layak ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC adalah satu pencapaian yang cemerlang buat JDT.

Dengan perlawanan akhir semalam, maka berakhirlah sudah musim 2021 ini yang masih memperlihatkan cara JDT yang konsisten memenangi piala sejak 2013.

Kekalahan ini membuka mata semua yang terlibat dengan JDT bahawa JDT masih boleh dikalahkan dan satu sesi bedah siasat dan pastinya skuad akan ditambah baik dari semasa ke semasa.

Buat penyokong JDT, terima kasih atas sokongan dan kesetiaan yang ditunjukkan sepanjang musim ini. Walaupun pada awalnya tidak dibenarkan masuk, kini kita semua berbondong-bondong ke stadium walaupun final jatuh pada Selasa.

Jangan bersedih, tegakkan kepala dan teruskan berjalan serta kekalkan disiplin tinggi yang sering ditunjukkan sepanjang turun ke stadium. Ingat kekalahan ini bukan bererti kita tidak kuat tetapi kadangkala ianya memberikan kita pengajaran untuk memperbaiki diri.

Buat JDT, terima kasih atas kejayaan ini. Anda sememangnya hero kami dan kami berbangga dengan anda tanpa mengira menang atau kalah. Luaskan Kuasamu Johor.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply