JDT LANGKAUI NORMA BOLA SEPAK TEMPATAN MELALUI KERJASAMA DENGAN UNICEF

Apa yang tidak pernah dilakukan oleh Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT)?. Mencipta sejarah, memenangi piala, muncul kelab professional pertama, perlawanan All-Stars, stadium baharu dan kini menerusi kerjasama dengan UNICEF, JDT melangkaui norma kelab bola sepak tempatan.

JDT membuktikan bahawa wang bukan segala-segalanya dan kini bekerjasama dengan UNICEF untuk mengumpul dana bagi membantu kanak-kanak hidup lebih gembira dan mendapatkan hak yang mereka perlukan bagi menyerlahkan potensi sebenar mereka.

Muncul kelab pertama bekerjasama dengan organisasi antarabangsa di rantau ini, JDT kini duduk sebaris dengan kelab hebat seperti FC Barcelona, Manchester United, dan Olympiakos yang pernah bekerjasama dengan UNICEF sebelum ini.

Misi utama UNICEF bekerjasama rapat dengan kelab bola sepak adalah untuk membantu kanak-kanak bermain bola sepak, menyampaikan mesej penting, menggerakkan komuniti dan yang paling penting adalah memastikan pembangunan jangka panjang untuk kanak-kanak, keluarga dan masyarakat.

Kesedaran tentang kanak-kanak adalah masa depan ini menjadi matlamat utama UNICEF dan JDT berbangga menjadi platform yang menyokong gerakan ini. Ia juga sebagai lambang tanggungjawab sosial korporat JDT dalam memberi semula kepada masyarakat.

JDT dengan bangga bakal memperagakan logo UNICEF di hadapan jersi pasukan untuk musim 2021 seperti yang pernah dilakukan oleh FC Barcelona sebelum ini. Kerjasama ini sudah pasti mengangkat nama JDT di mata dunia.

Kebajikan masyarakat bukanlah perkara baharu dalam JDT. Pemilik kelab DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim Tunku Mahkota Johor juga sentiasa tampil memberi sumbangan dan kurnia kepada mereka yang memerlukan.

Selain itu, kelab juga banyak melakukan kerja amal membantu mangsa yang terjejas akibat banjir dan baru-baru ini mendermakan sebahagian gaji mereka kepada Tabung Bencana Negeri Johor ketika penularan pandemik Covid-19.

Menerusi kerjasama ini, JDT sememangnya sudah menjadi sebuah kelab global dan selepas menonton perlawanan bola sepak bukan hanya dianggap hiburan tetapi juga beramal dan membantu kanak-kanak yang memerlukan di seluruh dunia.

Sesungguhnya JDT sudah berada di atas normal bola sepak tempatan. Tahniah JDT kini anda meluaskan kuasa anda ke peringkat global dan pada masa yang sama membantu kanak-kanak merealisasikan impian mereka.

Luaskan Kuasamu Johor.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply