DOA DAN SOKONGAN IRINGI BOY KE JDT – IBU DAN BAPA DANIAL AMIER

 

Semua orang tahu apa yang ada di JDT adalah yang terbaik. Oleh itu kami sebagai ibu bapa berdoa dan sentiasa memberikan sokongan kepada Boy untuk berjaya di sini.”

Inilah ayat keramat yang dikongsikan oleh ibu dan bapa pemain baharu Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Danial Amier Norhisham selepas majlis pengenalan beliau oleh Tunku Mahkota Johor di Ibu Pejabat JDT Iskandar Puteri hari ini.

Sememangnya Danial sudah memasang cita-cita untuk beraksi bersama JDT dan akhirnya impian beliau menjadi kenyataan dan kini terserah kepada beliau untuk bekerja keras merebut kesebelas utama skuad Harimau Selatan.” kata bapanya.

Memilih Robert Lewandowski dan Hazwan Bakri sebagai penyerang idola, Danial atau nama manjanya Boy teruja untuk menyertai JDT dan sedar akan cabaran yang bakal beliau hadapi tetapi telah bersedia dari segi mental dan fizikal.

Saya terkejut apabila mendapat pengiktirafan dari TMJ, bukan semua pemain dapat peluang seperti ini dan saya akan jadikannya sebagai sumber motivasi kepada saya untuk keluar dari zon selesa dan mencabar diri sendiri. Saya ingin menjadi professional di JDT.” tambah pemain berusia 23 tahun ini.

Beliau sudah pasti tidak kekok untuk menyesuaikan diri kerana ramai rakan sepasukan di JDT seperti Syamer Kutty, Akhyar Rashid dan Safawi Rasid adalah ‘batch’ yang sama ketika mereka sama-sama beraksi untuk skuad kebangsaan di Piala Asia B23 tahun dahulu.

Selamat datang ke keluarga JDT Danial Amier. Pekakkan telinga dan jalan terus dengan bekerja keras dan buktikan kepada semua bahawa anda sememangnya layak untuk menyarung jersi keramat Harimau Selatan.

Saya tertarik dengan sifat berani beliau untuk mencabar diri beliau di dalam skuad JDT yang semua sedia maklum amat sengit dalam pemilihan pemain. Saya rasa beliau telah membuat keputusan yang tepat untuk berada di dalam kelab bolasepak yang terbaik dalam negara sekarang, JDT.” DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim – Pemilik JDT

Kepada para penyokong, mari berikan sokongan dan berikan ruang dan waktu yang secukupnya untuk Boy menjadi pemain yang lebih baik dan lebih professional di usia yang muda ini. Luaskan Kuasamu Johor.

Foto: Ezreen Abd Talip

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply