JDT FAMILY – KONSEP KEKELUARGAAN TUNJANG KEJAYAAN JDT

Melihat kemeriahan sambutan Hari Keputeraan DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) bersama para pemain dan kakitangan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) jelas menggambarkan suasana yang harmoni.

Konsep JDT Family yang diperkenalkan oleh TMJ adalah satu konsep kekeluargaan yang sebenarnya menjadi salah satu tunjang kekuatan dan kejayaan JDT sejak penubuhan kelab pada tahun 2013.

Menerusi konsep ini, TMJ dan pemain serta kakitangan dilihat lebih mesra dan berkongsi kegembiraan bersama-sama tanpa protokol dalam sesi santai barbeku di tepi pantai.

Hasil dari konsep ini juga, pemain JDT akan bersikap lebih terbuka dan mempunyai rasa hormat yang lebih mendalam terhadap kepimpinan TMJ sekaligus berjaya memahami impian dan cita-cita Baginda sebagai pemilik kelab.

Jika dilihat konsep ini di dalam sektor pekerjaan lain, ianya umpama hari keluarga tahunan syarikat yang ditunggu-tunggu oleh semua kakitangan tetapi di JDT perkara ini sering dilakukan bagi mengeratkan hubungan sesama pemain dan TMJ.

JDT Family ini juga bukan sahaja merangkumi pemilik, pemain dan kakitangan, malah ia melangkaui hingga ke penyokong JDT. Para penyokong juga dianggap sebahagian dari keluarga besar JDT dengan pelbagai kurnia diberikan.

Kemasukan percuma ke stadium, sambutan kejuaraan yang gilang gemilang, perlawanan All-Star yang mengumpulkan bintang dunia dan stadium baharu yang canggih adalah sebahagian dari kelebihan yang diperolehi oleh penyokong JDT.

Hasilnya lihat sahaja kegilaan penyokong JDT dalam memberikan sokongan ketika perlawanan dan juga dalam mendapatkan barangan cenderhati JDT. Konsep ini juga menyokong penuh konsep Bangsa Johor yang sememangnya menjadi tunjang keharmonian negeri Johor.

Seperti maksud tiga bintang di logo JDT yang membawa erti pengurusan, pemain dan penyokong yang hebat, konsep JDT Family ini sememangnya berkesan dan kesemua komponen dan elemen yang terlibat dengan JDT memahaminya.

Selamat Hari Keputeraan kepada DYAM Tunku Mahkota Johor. Semoga Tunku beroleh lebih kejayaan dan semoga JDT lebih sukses bukan sahaja di dalam negara malah hingga ke peringkat tertinggi kelab Asia. Teruskan rentak cemerlang dan Luaskan Kuasamu Johor.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply