INI JOHOR DARUL TA’ZIM, SEE MY LEVEL

Tiada satu pun kelab- kelab bola sepak di Malaysia ini yang mampu memecahkan rekod yang dicipta oleh Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sejak ditubuhkan pada tahun 2013.

Bukan bongkak ataupun berlagak tetapi ini adalah realiti dan fakta yang harus diterima dan ditelan oleh semua pihak yang terlibat dalam Liga Malaysia. Ini semua bukan cerita dongeng tetapi segalanya berdasarkan data dan statistik.

Inilah level yang telah ditetapkan oleh JDT. Belum pernah mana-mana kelab atau pasukan yang pernah memenangi Liga Super lebih dari dua kali. Tetapi JDT melakukan ‘double hattrick’ dan mungkin ‘triple hattrick’ tahun hadapan.

Foto: Ezreen A Talip – MFL

Sekarang adalah zaman era bola sepak moden. Bukannya zaman mengingati sejarah ataupun berbangga dengan pencapaian pengurusan lama. Di JDT, segala kejayaan dan rekod hanya diambil bermula sejak penubuhan kelab iaitu pada 2013.

Di JDT juga kita tidak mengamalkan konsep menang sorak kampung tergadai di mana ada individu yang begitu gembira apabila JDT tewas tetapi pada hakikatnya pasukannya sendiri sudah bungkus awal dalam pertandingan yang sama.

Atas sebab inilah para penyokong juga perlu bersikap profesional seiring dengan tahap profesionalisme kelab. Jangan dilayan langau-langau di media sosial kerana mereka bukanlah level kita.

JDT mempunyai rekod yang boleh dibanggakan dan gunakan rekod-rekod ini sebagai peluru untuk kita berbahas berdasarkan fakta dan bukannya auta. Letakkan emosi jauh dari hati dan jari dengan menunjukkan kematangan dalam budaya menyokong.

Selain itu, di JDT juga kita tidak pernah diberikan janji-janji manis atau cerita dongeng yang hanya sedap didengari di telinga tetapi tiada apa-apa yang konkrit di atas kertas mahupun yang dimeterai. Semua harus ingat bahawa ‘JDT sells’.

Satu perkara lagi yang harus kita ingat, pesaing sebenar JDT adalah JDT sendiri. Keinginan untuk menjadi lebih baik dari musim lepas sentiasa ditanam dalam diri setiap pemain. Sikap yang sama ini juga perlu ada dalam diri setiap penyokong JDT.

Ini Johor Darul Ta’zim. See my level. Luaskan Kuasamu Johor.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply