HELLO KUALA LUMPUR!

 

Foto: www.asiana.my

 

Hello Kuala Lumpur

Sebagai peminat JDT di Lembah Klang sudah pasti perlawanan hujung minggu ini menjadi acara yang saya tunggu tunggu. JDT akan meneruskan perjuangan dalam Liga Super dengan menentang Kuala Lumpur.  Perlawanan tempat lawan pertama untuk musim ini.

Untuk memastikan JDT menjadi juara Liga Super 2018, pasukan harus memastikan 12 mata maksimum diperoleh pada bulan Februari ini. Ia penting kerana pemain masih cergas dan ia mampu membantu pasukan mengukuhkan kedudukan dalam liga.

Biarpun Kuala Lumpur terperosok di dasar liga ketika ini namun ia bukanlah tiket untuk pasukan mengambil mudah permainan ini. Jurulatih Ulisses Morais juga sedar akan kepentingan perlawanan ini dan menuntut 100% komitmen dari semua pemain.

Di atas kertas sememangnya JDT mempunyai kualiti di setiap bahagian berbanding Kuala Lumpur. Tetapi harus diingat bahawa setiap pasukan akan cuba mengalahkan JDT dan pasti akan bermain mati matian.

Stadium Cheras juga merupakan venue baru untuk JDT musim ini. Pemain tidak pernah merasai kualiti padang baru ini dan pastinya akan memberi cabaran kepada para pemain.

 

 

Sebagai peminat setia saya mengharapkan JDT akan meneruskan corak permainan terbuka seperti yang ditunjukkan di Stadium Larkin. Saya teruja untuk melihat lontaran kedalam jauh oleh Corbin Ong dan kesemua pemain JDT dengan lebih dekat.

JDT harus mengekalkan kesebelasan utama mereka demi memastikan 3 mata penuh berjaya dicapai. Penggiliran pemain itu penting tetapi saya yakin jurulatih pasti mempunyai ramuan beliau tersendiri.

Gandingan Safiq Rahim, Harris Harun, Natxo Insa dan Gonzalo Cabrera pasti ditagih peminat di Lembah Klang untuk menjana jentera tengah sekaligus membantu barisan penyerang yang diketuai Luciano Figueroa.

Jorge Pereyra Diaz yang berjaya membuka akaun jaringan beliau tempoh hari pasti akan lebih bersemangat untuk merobek gawang Kuala Lumpur. Saya juga berharap ada pemain tempatan yang mampu menyerlah dalam perlawanan ini.

Pendahulu liga, Selangor akan berkunjung ke Terengganu dan pasti kita mengharapkan keputusan negatif untuk mereka di Kuala Terengganu. Tetapi JDT harus menang dan tidak hanya mengharap kepada keputusan perlawanan lain.

Foto: www.asiana.my

Jadi marilah kita Bangsa Johor di Lembah Klang beramai ramai memenuhkan Stadium Cheras Sabtu ini. Sorakan anda sebagai pemain ke 12 pasti akan membakar semangat pemain serta mengganggu mental pasukan lawan.

Jagalah adab dan tatasusila ketika melawat gelanggang lawan. Jika kita sayangkan Stadium Larkin sikap itu harus diterapkan di semua venue. Kita tunjukkan kepada semua bahawa penyokong JDT adalah penyokong yang bijak dan bertamadun.

Selamat maju jaya diucapkan kepada pasukan dan penyokong Sabtu ini.

Luaskan Kuasamu Johor!

Faiz – Wangsa Maju

“Winning takes talent, to repeat takes character..”

 

 

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply