EMPAT MINIT GILA SEBELUM PENGAKHIRAN SEMPURNA

Tangan ini masih menggigil ketika menaip artikel ini. Rasa teruja dan gembira mengundang sesak di dada hingga tumpahnya air mata ketika meraikan detik bersejarah buat JDT apabila menang secara dramatik ke atas Ulsan Hyundai dalam Liga Juara-Juara AFC.

Keberanian meredah lebuh raya dari Kuala Lumpur pada ketika ramai yang pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri dianggap satu tindakan yang gila tetapi akhirnya menguntum senyum ketika memandu pulang semula ke Kuala Lumpur.

Menonton bola sepak pada sebelah petang terasa agak kekok pada mulanya tetapi selepas melihat senarai kesebelasan utama, bahang matahari tidak mampu melawan bahang perlawanan besar ini.

Tidak ada kata-kata yang mampu digambarkan tatkala pertahanan Ulsan Hyundai tertolak masuk ke gawang sendiri pada saat akhir perlawanan. Ianya terasa bagaikan mimpi tetapi rupanya ianya adalah realiti yang disambut gembira keseluruhan penyokong yang hadir.

Stadium Sultan Ibrahim bergemuruh dengan sorakan kegembiraan sehingga ramai yang terlupa telah masuk waktu berbuka puasa bagi Johor Bahru dan kawasan yang sewaktu dengannya. Terima kasih atas pemberian kurma percuma yang membantu penyokong berbuka puasa secara sunnah.

Ini kerana kita semua dihidangkan satu perlawanan bola sepak yang sangat sedap bermula dari sepak mula hingga saat terakhir. Pemain-pemain JDT nyata berada pada kelas yang berbeza bermula dari percubaan Bergson yang tidak sepatutnya tersasar berdasarkan reputasinya.

Foto: Ezreen Abd Talip

Kegembiraan pertama hadir seawal lima minit apabila Leandro Velasquez menjaringkan sepakan percuma yang sangat cantik hinggakan penjaga gol Piala Dunia Korea Selatan terlihat amatur namun kesilapan amatur pertahanan JDT dihukum Ulsan seminit kemudiannya.

Gamat sekali lagi stadium apabila pemain JDT mudah mengayam-ayamkan pertahanan Ulsan tetapi Forestieri dikatakan ofsaid sedangkan langsung tidak namun mereka cepat ‘move on’ dan tidak membantah keputusan penjaga garisan itu.

Perlawanan beraksi seimbang selepas itu sehinggalah pengadil keempat mengangkat papan mata menandakan tiga minit tambahan masa dimana bermula lah empat minit yang gila dalam bola sepak.

Dengan sorakan hampir 18,000 penyokong setia, angka tertinggi musim ini, JDT melancarkan serangan demi serangan yang boleh menyebabkan seseorang mendapat serangan jantung.

Bermula dengan rembatan Ramadhan Saifullah yang berjaya ditepis penjaga gol Piala Dunia ianya seakan memberi gambaran JDT akan memberikan pengakhiran sempurna.

Seminit selepas itu, Ramadhan bertindak sebagai pengumpan pula kepada Safawi Rasid yang melepaskan rembatan padu tetapi dihalang tiang gol yang menyaksikan Benjamin Mora bersujud di tepi padang.

Tidak sampai 60 detik, jantung hampir gugur apabila penyerang Ulsan Hyundai, Um Won-Sang pula menyaksikan rembatannya terkena tiang tatkala Farizal Marlias sudah tertewas yang menyebabkan stadium hampir senyap ketika itu.

Masuk minit terakhir perlawanan ketika Kawasaki Frontale sudah merasakan mereka layak apabila menang di Larkin, Arif Aiman melakukan magis apabila melakukan percubaan ke arah gawang Ulsan yang tekena pertahanan dan cuba diselamatkan penjaga gol Piala Dunia yang diganggu Forestieri.

Tumbukan lemah beliau singgah kembali kepada Arif Aiman yang tenang melakukan hantaran silang dan akhirnya membias ke gawang sendiri oleh pemain pertahanan Ulsan dan stadium meledak gegak gempita.

Pengadil terus meniupkan wisel penamat menandakan JDT menang dan menjuarai kumpulan dan Ulsan dihantar pulang awal. Suasana gila menguasai keseluruhan stadium dengan sorak sorai dan tangisan kegembiraan yang tidak terkata umpama memenangi perlawanan akhir.

Tanpa mengira siapa dan penyakit, para penyokong berpelukan meraikan sejarah ini. Keindahan bola sepak dan kebanggaan menjadi penyokong JDT teserlah di setiap wajah semua yang hadir.

Itulah empat minit yang cukup gila dalam bola sepak. Cukup mendebarkan dan akhirnya satu pengakhiran sempurna menjadi milik JDT. JDT bukan lagi budak baru tetapi kini JDT ada dikalangan 16 kelab terbaik Asia.

Sekarang mari kita sambut kejayaan ini yang boleh dijadikan topik perbualan ketika kunjung mengunjung di Hari Raya. Jika bukan kita siapa lagi yang hendak membanggakan kelab kesayangan kita ini. Luaskan Kuasamu Johor.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply