EKSPLORASI MENUJU KE BINTANG-BINTANG BERSAMA JDT

 

Menjadi juara, mendakap piala dan mempunyai rekod aksi di pentas tertinggi adalah impian semua pemain bola sepak. Baik pemain senior atau pemain muda kesemuanya ingin merasakan keterujaan berada sebahagian dari komponen pasukan yang bergelar juara dan berprofil tinggi.

Jika anda mahu menjadi juara, sertailah JDT. Peluang tinggi untuk menang, peluang tinggi untuk menambah lagi trofi dalam almari awak dan pada masa yang sama awak mendapat pendedahan yang baik bermain dalam ACL”- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

Farizal Marlias, Safawi Rasid, Aidil Zafuan ,S Kunalan serta beberapa lagi pemain tempatan dalam Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dilihat antara pemain yang memiliki pengalaman berharga sepanjang menyarung jersi Harimau Selatan.

Dari kabur hingga menjadi terang”

Sudah pastinya memorabilia ini akan menjadi memorabilia paling manis untuk mereka kenang penuh kebanggaan sepanjang hayat.

Saya bawa Safawi ketika beliau berusia 19 tahun dan kini beliau bermain untuk setiap perlawanan”-DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

Safawi Rasid adalah contoh paling terbaik buat pemain muda. Imbas kembali, Safawi Rasid mula menyertai JDT ketika berumur 19 tahun. Datang sebagai pemain tidak dikenali dan ramai juga ragu-ragu apakah kelebihan luar biasa pemain ini hingga dapat menarik minat DYAM Tunku Mahkota Johor serta barisan kejurulatihan JDT.

JDT ketika itu berjaya membawa Safawi tanpa dicabar oleh mana-mana pasukan. Untuk makluman para pembaca, “Scout” JDT telah memantau perkembangan Safawi ketika pemain ini berada di Kelab T-Team fc.

Dengan 33 penampilan dan menjaringkan 42 gol bersama pasukan tersebut. Safawi dilihat superlatif untuk dibawa ke bumi Jauhar. Akhirnya pada penghujung tahun 2016, Safawi rasmi menjadi sebahagian dari keluarga JDT.

Perlawanan pertama musim dua ribu tujuh belas, 20 Januari 2017 ketika menentang Kedah adalah pertama kali Safawi menyarung jersi JDT dalam persaingan sebenar Liga Super Malaysia.

Pada hari itu, perlawanan itu bukan sahaja perlawanan pembuka tirai, tetapi juga perlawanan amat penting Harimau Selatan dalam mempertahankan Piala Sumbangsih. Namun waktu itu beliau hanya disenaraikan dalam barisan pemain simpanan dan tidak berpeluang membuat penampilan pertama bersama JDT.

Keputusan akhir, JDT berkongsi mata pada perlawanan pertama namun terlepas Piala Sumbangsih apabila tewas pada penentuan sepakan penalti.

Selang seminggu, pada perlawanan kedua Liga Super Malaysia 2017, Safawi akhirnya membuat penampilan pertama. Paling menarik penampilan pertama Safawi adalah di Stadium kebanggaan dan keramat iaitu Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin ketika menentang Felda United pada 27 Januari 2017.

Peluang itu hadir pada minit ke 57, apabila beliau diarahkan masuk oleh Ketua Jurulatih Ulisses Morais menggantikan Jeremo Barralles.

Melihat kepada kesungguhan dan prestasi memberangsangkan Safawi ketika perlawanan kedua Liga Super Malaysia 2017, Ulisses Morais tanpa ragu-ragu menurunkan Safawi dalam barisan kesebelasan utama untuk perlawanan “second preliminary round” Liga Juara-Juara AFC (ACL) menentang Bangkok Glass di Leo Stadium.

Budak itu ada potensi besar!”-Ulisses Morais

Dengan menyedari ini adalah penampilan pertama beliau dalam perlawanan antarabangsa, Safawi telah menunjukkan aksi yang menakjubkan. Beliau bermain dengan baik sebelum digantikan dengan Nazmi Faiz sekitar minit 79’. Waktu itu JDT masih mendahului tuan rumah dengan jaringan 1-0.

Bagai langkah kanan, JDT berjaya mara ke peringkat “play off” Liga Juara-Juara AFC (ACL) apabila menang dalam penentuan sepakan penalti setelah seri satu sama dalam satu ratus dua puluh minit waktu perlawanan.

Masa terus berlalu”

Semestinya paling tidak dilupakan oleh beliau adalah aksi pertama beliau di negeri matahari terbit iaitu ketika bertemu kelab terkemuka Gamba Osaka. JDT tewas 3-0 namun semua menjadi saksi bahawa itu adalah perlawanan paling cantik yang pernah ditunjukkan oleh barisan pemain Harimau Selatan.

Selepas itu, masa terus berlalu, perlawanan demi perlawanan beliau lalui bersama JDT. Safawi kerap diturunkan namun tidak konsisten berada dalam kesebelasan utama. Merasai kemenangan ada juga merasai kekalahan.

Gol pertama”

Setelah lebih 4 bulan bergelar pemain JDT, paling merisaukan beliau adalah beliau tidak berjaya menjaringkan sebarang gol. Namun dari sisi DYAM Tunku Mahkota Johor dan barisan jurulatih, Safawi tetap diberi masa.

Akhirnya atas kepercayaan tinggi yang menjadi motivasi, Safawi telah berjaya menjaringkan gol pantas ketika bertemu Boeung Ket di Cambodia Airways Stadium dalam aksi peringkat kumpulan Piala AFC pada 19 April 2017. Keputusan akhir JDT menang 0-3. Dan ini merupakan gol pertama Safawi bersama JDT.

Kini setelah lebih kurang tiga tahun bersama JDT, Safawi Rasid kini telah layak bergelar “Superstar” dan memainkan watak penting dalam kancah bola sepak negara.

Berbagai-bagai pengalaman baik dalam dan luar negara telah beliau rasai. Kejuaraan 3 kali Liga Super, 2 kali Piala Malaysia dan 2 kali Piala Sumbangsih.

Akhir penulisan, tidak disangkal lagi, Safawi sesuai dijadikan tauladan dan “role model” bagi pemain-pemain muda yang mahu mencabar diri. Safawi juga berjaya membuktikan bahawa JDT adalah indikator hala tuju paling tinggi di Malaysia.

Mengambil keputusan beraksi bersama JDT adalah pilihan yang betul dan amat tepat. Pastinya, sesiapa yang berada di sini pasti merasakan bahawa menyarung jersi Merah Biru adalah satu kejayaan dan penghormatan sepanjang perjalanan karier mereka. JDT pula sentiasa membuka pintu seluas-luasnya kepada pemain muda yang layak dan berpotensi untuk bersama-sama merasai kejayaan demi kejayaan yang bakal dilakar.

Untuk berada dalam kelab bola sepak profesional, awak perlu berjuang untuk mendapatkannya. Itu yang menjadikannya seorang pemain bola profesional. Tetapi kalau sebagai pemain dan tak nak bertarung untuk dapatkan tempat jadi awak tidak akan menjadi baik, pasal awak (pemain) akan berada dalam kedudukan selesa”-DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply