BILA JDT ADA EMPAT STADIUM SENDIRI

Fasiliti kelas dunia dan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak boleh dipisahkan. Ianya umpama makan pisang goreng dengan sambal kicap yang cukup enak.

JDT mempunyai pelbagai fasiliti terbaik yang memenuhi kehendak bola sepak moden dan dicemburui oleh semua pasukan bola sepak di Malaysia malah di Asia Tenggara.

Artikel ini bukan bercerita tentang gimnasium, jakuzi atau pusat latihan tetapi JDT mempunyai empat buah stadium yang semuanya menepati piawaian yang ditetapkan oleh FAM, MFL dan juga AFC.

Apa kelebihan mempunyai sampai empat stadium ini. Kesemua pasukan JDT bermula dari skuad senior hingga skuad akademi berbangga mempunyai ‘home’ sendiri dan tidak berkongsi dengan pasukan lain.

JDT bermain di stadium tercanggih Malaysia, Stadium Sultan Ibrahim, JDT II beraksi di Stadium Larkin, JDT III di Stadium Pasir Gudang manakala skuad junior dan akademi bermain di Stadium Mini Taman Ungku Tun Aminah.

Keempat-empat stadium ini juga diselenggara baik dengan kualiti padang yang terbaik dan sesuai untuk beraksi dalam apa jua keadaan cuaca dan juga bersedia dalam apa jua perintah kawalan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Mempunyai empat stadium ini bukan hanya memberi kelebihan kepada JDT sahaja tetapi juga dengan mudah mampu memberikan bantuan kepada pasukan yang tidak mempunyai ‘home ground’ untuk bermain di salah satu stadium yang mereka miliki.

Kuching City yang mengalami kesukaran berulang alik ke Sarawak akibat SOP Covid-19 di sana dibenarkan menggunakan Stadium Pasir Gudang untuk dijadikan rumah mereka untuk menghabiskan baki perlawanan liga mereka.

Menurut kenyataan jurulatih mereka, Kuching City telah membuat permohonan kepada Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan tetapi semua tidak mampu memberikan bantuan kerana ada antara mereka sendiri yang tidak mempunyai stadium.

Sebagai langkah terakhir, mereka meminta bantuan JDT dan dengan segera permohonan mereka diluluskan oleh pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

Inilah antara ‘flex’ yang ada pada JDT. Keputusan dapat dibuat dengan cepat kerana semua perkara hanya diuruskan oleh seorang individu iaitu DYAM TMJ sendiri. Tiada ‘red tape’ tiada politik cuma keputusan segera.

Syabas JDT kerana anda buktikan bahawa walaupun anda mempunyai banyak stadium tetapi anda tidak lokek untuk meminjamkannya kepada mereka yang memerlukan.

Dengan situasi Covid-19 negara yang masih tidak menentu jangan terperanjat jika saingan Piala Malaysia akan diadakan di Johor kerana JDT ada empat stadium yang sedia untuk digunakan.

Lebih mudah, lebih jimat dan semuanya boleh dilangsungkan dengan selamat mengikut gelembung sukan yang telah ditentukan oleh pihak KKM. Jadi, fikir-fikirkanlah.

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply