AKHYAR RASHID BINTANG DALAM PEMBIKINAN

Cuba kita renungkan siapa dan di mana diri kita ketika berusia 19 tahun. Kebanyakannya sedang belajar dan ada yang baru bertatih dalam kerjaya dengan keadaan emosi dan mental yang masih belum matang.

Kemudian mari kita lihat apa yang berlaku kepada kehidupan Akhyar Rashid pada umur 19 tahun. Beliau menjalani kehidupan yang diimpikan oleh setiap remaja di luar sana. Bergaji besar, popular dan menjadi kegilaan gadis-gadis.

Bukan mudah untuk menjalani kehidupan seperti beliau. Setiap remaja pasti pernah melalui tempoh ini dimana kita akan bertindak mengikut kata hati dan ingin bebas tetapi bagi Mat Yat beliau terpaksa mengorbankan masa remajanya dan menjalani cara hidup yang lebih berdisiplin sebagai pemain bola sepak profesional.

Tidak dinafikan masih ada sisi kanak-kanak riang dalam diri beliau apabila sering merakam video tik-tok dan menari sakan tetapi itu adalah sifat seorang remaja dan apa yang penting apabila didalam padang beliau cukup serius dan berdedikasi.

 

Tindakan 25,000 penyokong Kedah yang boo beliau dan beberapa pemain Kedah yang dilihat cuba membalas dendam tempoh hari adalah antara asam garam yang beliau perlu hadapi dan senario ini sebenarnya menguntungkan beliau sebagai pemain muda.

Beliau akan lebih matang dan akan mempunyai ketahanan mental yang cukup tinggi di masa akan datang. Beliau harus membiarkan apa yang diperkatakan kerana beliau telah buktikan kehebatan di atas padang baik ketika bersama kelab mahupun skuad kebangsaan.

Akhyar kini sudah beraksi di Liga Juara-Juara AFC (ACL) dan telah membuka mata pencari bakat dari luar negara manakala
penyokong yang mengejek beliau itu jugalah yang memuja beliau suatu ketika dahulu dan kini masih belum ‘move on’ seolah-olah orang yang gila talak.

Buat Mat Yat anda tidak perlu menggelabah sebaliknya jadikan peristiwa itu sebagai perkara yang mematangkan anda. Seantero Malaya tahu akan bakat anda dan apa yang ada miliki kini hanyalah impian kepada remaja 19 tahun yang lain.

Teruskan berlatih dan jadikan pemain senior JDT sebagai rakan ‘sparring’ anda. Anda mempunyai jurulatih dan mentor yang mempunyai pengalaman luas dalam bola sepak dunia. Gunakan peluang ini untuk membina platform kerjaya yang lebih bagus dan berani berhijrah jika ditawarkan peluang. Selamat maju jaya diucapkan.

 

Kembali kepada kita, kenang semula apa peluang yang kita ada pada umur 19 tahun. Ayuh ubah mentaliti dan berikan sokongan kepada beliau. Tanpa penyokong apalah bola sepak tetapi bola sepak akan mati jika ianya berterusan dihentam tanpa ruang diberikan ruang positif. Fikir-fikirkan.

Izhar Hamid, Alor Setar

  
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply